Batu Kawan: Lelaki parah selepas diserang dan ditetak sekumpulan lelaki di Kampung Achooi, Bukit Tambun, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafee Abdul Samad, berkata R Hananthan, 35, dari Kampung Batu Kawan dipercayai ke Kampung Achooi untuk menghadiri majlis pengkebumian rakannya, kira-kira 8 malam.

“Mangsa datang seorang diri dengan kereta dan ketika keluar dari kenderaannya tiba-tiba dia diserang empat lelaki bersenjata parang, yang dipercayai dua daripada mereka adalah kenalan mangsa.

“Mangsa sempat masuk ke dalam keretanya semula, namun keempat-empat suspek menetak kenderaan itu sehingga pecah cermin hadapan dan tingkap sebelum lelaki itu keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika melarikan diri, mangsa dikejar suspek dan sempat ditetak sehingga terjatuh di hadapan sebuah rumah.

Shafee berkata, empat lelaki itu kemudiannya melarikan diri selepas menyedari terdapat beberapa penduduk berhampiran rumah berkenaan dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.

“Mangsa berlari kira-kira 50 meter dari keretanya sebelum terjatuh di hadapan rumah itu, dia mengalami luka akibat ditetak di bahagian bahu kiri dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Katanya, menurut pemilik rumah tempat mangsa jatuh, ketika ditemui lelaki itu dalam keadaan mabuk dan polis tidak menolak kemungkinan berlaku salah faham antara dia dan suspek.

Polis turut menemui empat parang tidak jauh daripada kereta mangsa dan dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.

Katanya, identiti dua daripada empat lelaki yang menyerang mangsa telah dikenal pasti dan usaha mengesan suspek lain giat dijalankan.

Shafee berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Saya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2016 @ 5:21 PM