DATUK Mustapa Omar menyampaikan sumbangan sambil disaksikan Othman Mamat. FOTO Alias Rani
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) diteruskan dengan memberi sumbangan kepada empat rumah anak yatim dan pusat tahfiz di daerah ini.

Program dianjurkan atas keprihatinan Harian Metro untuk menghulurkan sumbangan barangan keperluan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.

Empat lokasi terpilih ialah Pusat Jagaan Anak Yatim Baitul Mahabbah, Seremban 2; Pertubuhan Anak Yatim Al-Khair, Sikamat; Pusat Tahfiz As-Salihin, Sikamat; dan Rumah Anak-Anakku Sayang Ar-Rayyan, Taman Panchor Jaya.

Sumbangan berkenaan disampaikan Pengarang Kumpulan Datuk Mustapa Omar dan disaksikan Pengerusi TKHM yang juga Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Othman Mamat.

Pengasas Ar-Rayyan, Rayah Abdul Ghani, 78, berkata, pihaknya bersyukur dan berterima kasih kepada Harian Metro yang sudi menghulurkan bantuan kepada pihaknya yang mengusahakan rumah anak yatim, orang tua dan pelajar tahfiz.

"Saya gembira dan bersyukur kerana membantu kami dengan memberikan sumbangan itu. Ia dapat meringankan beban dan mengurangkan kesusahan kami," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2016 @ 6:49 PM