KEADAAN anak anjing yang terperangkap di dalam lubang tandas.

Beijing: Satu rakaman video menunjukkan detik-detik sekumpulan anggota bomba di China menyelamatkan seekor anak anjing yang terperangkap di dalam lubang tandas.

Anggota bomba itu dipanggil selepas anak anjing itu terjatuh ke dalam lubang tandas dan gagal dikeluarkan pemiliknya.

Rakaman berkenaan menunjukkan hanya kepala anak anjing itu yang kelihatan di lubang tandas yang sempit.

Anggota bomba pada mulanya sukar mengeluarkan anak anjing itu akibat lubang tandas yang sempit dan badan haiwan itu yang licin.

Bagaimanapun, selepas beberapa minit mencuba, seorang anggota bomba berjaya memegang telinga haiwan itu dan menariknya keluar.

Anak anjing itu kelihatan tidak mengalami sebarang kecederaan dan berlari ke arah tuannya sejurus dilepaskan.

Seorang anggota bomba berkata, mereka sering dipanggil untuk menyelamatkan haiwan yang terperangkap di lokasi yang sukar dijangka. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2016 @ 5:11 AM