PERBELANJAAN penggunaan swasta dijangka perlahan.
PERBELANJAAN penggunaan swasta dijangka perlahan.

Pengumuman Bajet 2015 jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperbaiki kedudukan kewangan tatkala prospek ekonomi yang dijangka lebih mencabar pada tahun depan.

Pada sesi pembentangan itu, defisit fiskal yang mana tahap perbelanjaan melebihi hasil diramal akan berada pada paras yang lebih baik iaitu RM35.7 bilion atau 3.0 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2015.

Angka ini adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan RM37.3 bilion atau 3.5 peratus daripada nilai KDNK bagi pencapaian tahun semasa. Prestasi sebegini banyak didorong oleh peningkatan dalam hasil kerajaan pada kadar 4.5 peratus kepada RM223.4 bilion.

Pertumbuhan perbelanjaan kerajaan pula diunjurkan 3.3 peratus kepada RM271.9 bilion. Kerajaan dilihat lebih berhati-hati terhadap perbelanjaan mengurus yang pertumbuhannya mengecil kepada 1.1 peratus bagi 2015 berbanding 4.7 peratus pada tahun semasa.

Apa yang menarik adalah peningkatan yang agak mendadak dalam perbelanjaan pembangunan yang mana pertumbuhannya dijangka meningkat sebanyak 14.9 peratus.

Ini menunjukkan kerajaan begitu peka terhadap suasana pertumbuhan ekonomi tahun depan apabila pertumbuhan perbelanjaan swasta dijangka memperlahan pada kadar 5.6 peratus berbanding 6.5 peratus pada 2014.

Perkara ini bagi menggalakkan pertumbuhan pelaburan awam sebanyak 4.7 peratus, sekali gus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi domestik tahun depan.

Selain itu, pengumuman mengenai mekanisme baru terhadap pemberian subsidi petroleum adalah sesuatu yang amat dialu-alukan memandangkan sistem subsidi sedia ada tidak menjurus kepada golongan sasaran secara mutlak.

Ini adalah satu pembaziran terutama apabila subsidi minyak dinikmati golongan yang berpendapatan tinggi serta terdedah kepada risiko penyeludupan ke negara jiran.

Diharap sistem baru ini akan membabitkan pengapungan harga minyak mengikut harga pasaran dan subsidi minyak akan diberi mengikut tingkat pendapatan.

Di samping itu, pengapungan harga minyak mengikut harga pasaran akan memberi isyarat yang betul kepada tabiat penggunaan oleh pengguna kerana menyebabkan seseorang lebih berhati-hati apabila berbelanja memandangkan harga minyak akan berubah mengikut harga pasaran.

Pengumuman beberapa projek infrastruktur seperti projek lebuh raya dan projek rel keretapi LRT dan MRT juga dilihat amat bertepatan dengan suasana ekonomi yang lebih mencabar pada 2015.

Memandangkan perbelanjaan penggunaan swasta yang dijangka perlahan iaitu lebih kurang 5.6 peratus daripada 6.5 peratus pada tahun semasa. Selain itu, peningkatan kadar inflasi 4.0 hingga 5.0 peratus pada tahun 2015 juga akan menyebabkan isi rumah lebih berhati-hati apabila berbelanja.

Penekanan terhadap pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta perkaitannya dengan perkembangan pasaran kewangan Islam juga dapat dilihat dalam pembentangan bajet kali ini.

Perkara ini berikutan pengenalan Platform Akaun Pelaburan (IAP) dengan dana permulaan sebanyak RM150 juta yang bertujuan bagi membiayai aktiviti keusahawanan serta membangunkan perniagaan PKS.

Bagi tujuan ini juga, pendapatan oleh pelabur daripada IAP akan dikecualikan daripada cukai selama tiga tahun berturut-turut.

Mengenai GST pula, pihak kerajaan akan mengeluarkan senarai membeli-belah bagi memberi panduan terhadap harga barangan sebelum dan selepas dikenakan GST.

Selain itu, harga minyak petrol RON95, diesel serta LPG tidak akan dikenakan GST dan pengunaan elektrik yang tidak dikenakan GST dinaikkan daripada 200 unit kepada 300 unit.

Perkara ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kebimbangan pengguna terhadap perlaksanaan GST pada April tahun depan.

Secara keseluruhannya, pembentangan bajet kali ini adalah sesuatu yang realistik memandangkan kerajaan begitu konsisten mencapai bajet berimbang menjelang 2020.

Namun harus diingatkan bahawa setiap ekonomi mempunyai kitarannya. Apabila berlakunya kelembapan ekonomi, pihak kerajaan perlu campur tangan bagi menstabilkan ekonomi.

Oleh itu, apa yang penting adalah usaha bagi memastikan kedudukan kewangan kerajaan akan terus kukuh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan.

Ketua Penganalisis Ekonomi

Bank Islam Malaysia Berhad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:10 AM