SKUAD projek bawah 23 yang akan beraksi di Sukan SEA 2017.
SKUAD projek bawah 23 yang akan beraksi di Sukan SEA 2017.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemilihan Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang dijadualkan berlangsung tahun depan ditangguh kepada 2018 untuk memberi laluan kepada penganjuran Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dan persiapan Sukan Komanwel 2018 Gold Coast.

Menurut Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar (gambar kecil), keputusan itu dipersetujui sebulat suara 32 persatuan sukan dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-35 semalam.

“Pemilihan yang sepatutnya diadakan pada Jun tahun depan akan diadakan selepas berakhirnya Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan dan Sukan Komanwel,” katanya di Wisma MOM semalam.

Ini bermakna besar kemungkinan pemilihan itu akan dibuat pada Jun 2018.

Jelasnya, tarikh asal pemilihan itu terlalu hampir dengan Sukan SEA yang akan berlangsung pada Ogos dan sekiranya pemilihan dibuat MOM akan mendapat presiden serta ahli lembaga baharu kira-kira enam minggu sebelum temasya itu berlangsung.

“Selepas itu pada awal 2018 kita akan menghadapi Sukan Olimpik Musim Sejuk serta Sukan Komanwel, jadi itu antara sebab keputusan ini dibuat.

“Selain itu, kami juga sedang menilai untuk membuat pindaan terhadap perlembagaan sedia ada termasuk mengadakan pemilihan setiap empat tahun sekali dengan pemilihan akan dilakukan setahun selepas Sukan Olimpik berlangsung,” kata Tunku Imran.

Katanya, ia bertujuan membolehkan MOM bergerak selari dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) serta Majlis Olimpik kebangsaan lain.

Dalam pada itu, Tunku Imran mengakui beliau tidak akan mempertahankan jawatan presiden yang disandangnya sejak 18 tahun lalu dan akan mengosongkannya pada Jun 2018.

“Saya pernah memberitahu ini penggal terakhir dan pada 2018 saya akan mencapai usia 70 tahun, cukup sudah tempoh perkhidmatan,” katanya.

Ditanya mengenai penganjuran serentak Sukan SEA dan Para ASEAN, beliau berkata, keputusan perkara berkenaan akan dibuat pada 14 Julai depan ketika mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2016 @ 5:15 AM