ANTARA aktiviti Rentas Borneo ialah memberikan rawatan kesihatan percuma kepada penduduk kampung di pedalaman
ANTARA aktiviti Rentas Borneo ialah memberikan rawatan kesihatan percuma kepada penduduk kampung di pedalaman
PELAJAR didedahkan cara menggosok gigi yang betul yang diselia kakitangan perubatan UMS.
PELAJAR didedahkan cara menggosok gigi yang betul yang diselia kakitangan perubatan UMS.
Erdihazzuan Ab Wahid

Ekspedisi Rentas Borneo 2016 (RB16) kali ketiga anjuran Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda Universiti Malaysia Sabah (UMS4WDVC) berjaya mencapai matlamat mendekatkan warga UMS dengan masyarakat di pedalaman Sabah melalui aktiviti khidmat masyarakat.

Rentas Borneo menjadi platform memperkenalkan UMS kepada penduduk di pedalaman selain menyelami kesukaran dan cabaran dilalui mereka menjalani kehidupan harian.

Penyelidik UMS juga dapat memperluaskan skop kajian ke kawasan yang kurang mendapat pendedahan umum.

Ekspedisi kali ini memilih Kampung Puun Batu di daerah Nabawan, kira-kira 60 kilometer dari pekan Sook yang dihuni kira-kira 100 penduduk.

Kampung itu mempunyai sebuah sekolah iaitu SK Pohon Batu dengan 36 murid dan lapan guru.

Majlis itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup yang memuji UMS kerana prihatin dengan penduduk luar bandar.

“Kedatangan peserta Rentas Borneo kali ini memberi pendedahan kepada Kampung Puun Batu yang mungkin tidak pernah didengar selain memberi peluang bermesra dengan masyarakatnya,” katanya.

Pelbagai aktiviti kemasyarakatan dijalankan seperti pemeriksaan kesihatan dan perubatan daripada pakar UMS, pemeriksaan gigi oleh doktor dari Nabawan, pendidikan kesihatan kepada kanak-kanak dan pelajar sekolah.

Aktiviti lain ialah sumbangan pakaian baru dan terpakai daripada ahli kelab UMS4WDVC serta peserta RB16, perlawanan persahabatan bola sepak, demonstrasi menyumpit, gasing, pertandingan karaoke dan Unduk Ngadau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 5:03 AM