Aznil bersama ibunya. FOTO ihsan Aznil


Kuala Lumpur : Ibu kepada pengacara popular Datuk Aznil Nawawi meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, tengah malam tadi, akibat sakit tua.

Aznil, 54, berkata, ibunya Norbaiti Surur, 90, menghembuskan nafas terakhir pada 12.56 tengah malam di sisi keluarga.

Menurut Aznil, ibunya dimasukkan ke hospital berkenaan pagi semalam berikutan keadaan kesihatannya semakin kritikal.

“Ketika dimasukkan ke hospital, keadaan ibu sudah tidak stabil dan doktor meminta saya menghubungi ahli keluarga yang lain.

“Kami sempat bersamanya sehingga arwah menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Aznil berkata, dia reda dengan pemergian ibunya selepas hampir tiga tahun terlantar di rumah.

Jenazah ibunya selamat dikebumikan di Tanah Pekuburan Islam Keramat, di sini, pada 10.45 pagi tadi yang turut dihadiri lebih 100 orang termasuk ahli keluarga terdekat, saudara-mara dan rakan Aznil.

“Alhamdulillah urusan pengebumian berjalan dengan lancar. Saya juga bersyukur kerana ibu pergi dengan tenang ketika 10 hari terakhir Ramadan

“Sebagai anak, saya sudah menjalankan tanggung jawab dengan sebaik mungkin bersama adik-beradik yang lain,” katanya.

Arwah meninggalkan tujuh anak, 17 cucu dan empat cicit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 2:42 PM