BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 1.6 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) setiap hari sempena cuti sambutan Aidilfitri, bermula 1 hingga 10 Julai ini.

Justeru, pengguna disaran merancang perjalanan berdasarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan PLUS bagi mengelak kesesakan.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Noorizah Abd Hamid berkata TTA membantu pengguna menikmati perjalanan selesa dan lancar untuk pulang ke kampung dan kembali ke ibu kota.

Beliau berkata TTA dirangka bagi mengelak jumlah besar bilangan kenderaan memasuki lebuh raya secara serentak yang menyumbang kepada kesesakan di laluan utama, plaza tol dan kawasan rehat.

Pengguna dinasihatkan mematuhi jadual TTA bagi mengelak punca kesesakan teruk seperti tahun sebelum ini.

TTA yang diperkenal sejak 2007 adalah pendekatan PLUS mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat.

Orang ramai boleh mendapatkan jadiah TTA itu serta maklumat terkini trafik dengan menghubungi talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000, laman Twitter PLUSTrafik atau muat turun aplikasi 'PLUS Mobile'.

PLUS menempatkan lebih 2,300 petugas di plaza tol dan pemantauan trafik dari udara serta menawarkan rebat sehingga 30 peratus bagi pengguna kenderaan kelas 1 pada hari bukan puncak iaitu 4, 8 dan 11 Julai membabitkan perjalanan lebih 100 km.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 9:36 PM