Pak Nil bersama seorang daripada 180 kanak-kanak dan remaja membeli-belah sempena Aidilfitri. FOTO Saiful Iskandar Ismail
Pak Nil bersama seorang daripada 180 kanak-kanak dan remaja membeli-belah sempena Aidilfitri. FOTO Saiful Iskandar Ismail
Pak Nil meraikan 180 kanak-kanak dan remaja membeli-belah sempena Aidilfitri. FOTO Saiful Iskandar Ismail
Pak Nil meraikan 180 kanak-kanak dan remaja membeli-belah sempena Aidilfitri. FOTO Saiful Iskandar Ismail
Sudirman Mohd Tahir


Petaling Jaya: Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi lega apabila dapat menunaikan janjinya dengan membawa 180 kanak-kanak dan remaja membeli-belah sempena Aidilfitri di sebuah pasar raya, di sini, pagi tadi walaupun baru kematian ibu, semalam.

Aznil, 54, berkata, jika diikutkan dia memang tidak kuat untuk keluar bekerja hari ini, tetapi mengenangkan nasib kanak-kanak terbabit, program itu tetap diteruskan.

“Takkan disebabkan masalah saya seorang, tergendala segala perancangan. Lagipun, mereka sudah sedia maklum mengenai aktiviti ini. Tentu saja masing-masing teruja nak berbelanja raya. Jadi kasihan jika saya menangguhkan perkara itu," katanya kepada Harian Metro.

Aktiviti yang dirancang sejak awal bulan itu membabitkan kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 18 tahun dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Kuala Lumpur.

Mereka diberi peruntukan sebanyak RM250 seorang merangkumi perbelanjaan dan kelengkapan menyambut Aidilfitri.

Menurut Aznil, dia juga masih meneruskan rakaman program LePaknil pada hari ini selain beberapa program lain.

"Jadual kerjaya saya tetap berjalan seperti biasa. Saya percaya arwah ibu pun tidak mahu saya dan adik-beradik lain terus bersedih. Kehidupan perlu diteruskan," katanya.

Ibu Aznil, Norbaiti Surur meninggal dunia pada usia 90 tahun di sebuah hospital swasta di sini, tengah malam kelmarin akibat sakit tua.

Jenazah dikebumikan di Tanah Pekuburan Islam Keramat, di sini, pada jam 10.45 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 2:39 PM