Pengarah produk, Martin Zhu (kiri), Pengurus wilayah, Robert Hu (tengah) dan Pengurus Negara TP-Link Distribution, Hugo Cai menunjukkan Neffos C5 MAX. FOTO Sairien Nafis
Sofyan Rizal Ishak


Petaling Jaya: TP-LINK memperkenalkan model telefon pintar terbarunya untuk siri Neffos C5 iaitu Neffos C5 Max di sini, hari ini.

Pengurus Negara TP-LINK Distribution Sdn Bhd, Hugo Chai berkata, pengenalan model itu tercetus daripada sambutan baik yang diterima syarikat melalui pelancaran dua model sebelum ini iaitu Neffos C5 dan C5L pada Mac lalu di Malaysia.

Model Neffos C5 Max dikuasakan pemproses MTK MT6753 octa-core 1.3GHZ Cortex-A53 dan memiliki paparan 5.5 inci Definisi Tinggi Penuh (Full HD).

Ia mempunyai kamera belakang 13 megapiksel (MP) dan depan 5MP manakala sistem operasi Android 5.1 digunakan.

Slot kad SIM mikro dual terdapat pada model itu manakala setoran 16GB boleh ditambah dengan kad mikro SD.

“Pelancaran Neffos C5 Max ini menandakan kemasukan lebih banyak peranti berkuasa di mana ia menawarkan dengan paparan kristal jernih, peningkatan piksel kamera serta pemproses lebih berkuasa,” katanya pada pelancaran Neffos C5 Max di sini, hari ini.

Neffos C5 Max didatangkan dalam dua warna iaitu putih mutiara dan kelabu hitam pada harga RM699.

Untuk permulaan, model ini boleh didapati melalui pusat beli belah online, 11street di mana 50 pembeli pertama berpeluang memenangi pembesar suara mudah alih Bluetooth Groovi Ripple percuma bernilai RM159 dari 28 Jun hingga 10 Julai 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 8:22 PM