BERMESRA dengan rakan seangkatan dalam bidang seni.
ANAK yatim turut diraikan.
Ridzuan Abdul Rahman


Ramadan disyukuri, Syawal dirai. Saban tahun, penerbit terkenal Datuk Yusof Haslam tidak ketinggalan mengadakan majlis berbuka puasa bagi meraikan pihak yang terbabit secara langsung dengan perjalanan syarikatnya.

Jumaat lalu, Yusof, 62, memilih mengadakan majlis sama di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang yang dihadiri artis veteran, presiden pelbagai persatuan hiburan dan kakitangan Skop Productions Sdn Bhd.

Selain mengagihkan rezeki hasil keuntungan yang diperoleh kepada artis veteran terpilih, persatuan hiburan dan persatuan wartawan hiburan, Yusof tidak ketinggalan memberikan bonus kepada semua pekerja yang setia bersamanya.

Tidak ketinggalan, dia turut memberi bonus kepada tenaga kerja dan pelakon drama bersiri Gerak Khas serta mereka yang terbabit dengan pembikinan filem pecah panggung, Munafik.

Pengarah dan pelakon utama Munafik, Syamsul Yusof dan Nabila Huda antara yang dikatakan menerima bonus tertinggi atas kejayaan Munafik meraih kutipan keseluruhan RM19 juta.

Yusof bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah keseluruhan yang dikeluarkannya kerana tidak mahu dipandang serong dan dilihat riyak segelintir pihak.

“Saya tak boleh uar-uarkan jumlahnya, tapi boleh dikatakan ia agak besar sesuai dengan kutipan tinggi Munafik. Filem Skop yang lain iaitu Mat Moto pun menjadi dan wajarlah saya berikan bonus kepada mereka yang terbabit menjayakannya.

“Setiap tahun saya bagi duit raya kepada kakitangan, tetapi sebelum ini jumlahnya tak besar kerana Skop mengalami kerugian menerusi filem KL Gangster 2,” katanya yang turut mengundang 40 anak yatim Kemensah, Hulu Klang.

Yusof berkata, selain memberikan imbuhan kepada kakitangan dan pelakon, keuntungan yang diraih kali ini dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan menyumbang kepada golongan kurang bernasib baik dan memerlukan.

“Sepanjang Ramadan saya menghulurkan sumbangan kepada 40 pertubuhan dan rumah kebajikan terpilih.

“Mengenai bonus kakitangan pula, saya berikan berdasarkan tempoh mereka bekerja dengan Skop. Begitu juga pembahagian yang diberikan kepada pelakon dan pengarah yang sering terbabit dengan produksi saya,” katanya.

Diuji lagi dengan persoalan jumlah keseluruhan yang dibelanjakan, Yusof berkata, dia mengingati pesan isterinya agar sentiasa merendah diri.

“Datin berkali-kali ingatkan saya agar jangan sebut jumlahnya. Biarlah kami sahaja yang tahu jumlahnya,” katanya.

Bercerita mengenai projek terbaru Skop, Yusof memberitahu Syamsul akan kembali turun padang untuk penggambaran filem Munafik 2 pada September nanti.

“Kami ada mengekalkan beberapa pelakon Munafik. Kali ini kami buat dalam bajet yang besar sikit iaitu RM2 juta. Syamsul memang merancang buat banyak cerita. Namun, pada masa sama, Syamsul takut kerana harapan penonton terhadapnya sangat tinggi.

“Saya sebenarnya tak pernah letakkan harapan menggunung tinggi terhadap mana-mana filem Skop termasuk Munafik. Bagi saya itu semua kerja Allah.

“Dari sisi lain, sejak filem KL Gangster meletup, saya mula percayakan kredibiliti pemikiran orang baru termasuk anak-anak saya.

“Ada baiknya Syamsul dan Syafiq keluar dengan idea baru dan segar. Pemikiran mereka memang jauh ke depan. Saya kini dalam proses menurunkan ilmu kepada Syamsul manakala urusan pentadbiran akan diambil alih anak perempuan saya, Shamin pada tahun depan,” katanya yang akan bertindak selaku penasihat Skop Production selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 5:03 AM