ANN (berdiri) melayan pelanggan di restoran tempat dia bekerja.

Augusta (Amerika Syarikat): Ann LePage, isteri Gabenor Maine, Paul LePage, bekerja sementara sebagai pelayan di sebuah restoran di Boothbay sebagai cara untuk memperoleh wang bagi membeli kereta baru.

“Memang betul saya perlukan wang. Saya memberitahu suami, saya perlu dapatkan wang kerana saya mahu membeli kereta baru musim panas ini,” katanya kepada stesen televisyen WGME.

Menurutnya dia merancang membeli kereta Toyota RAV4 yang berharga AS$24,350 (RM98,000).

LePage memperoleh pendapatan AS$70,000 (RM284,000) setahun, menjadikannya gabenor berpendapatan paling rendah di Amerika Syarikat. Jumlah itu juga di bawah AS$87,000 (RM353,000), purata pendapatan bagi pasangan yang sudah berkahwin di negara itu.

Menurut Ann, dia sudah sekian lama ingin menjadi pelayan di restoran.

“Selepas ibu saya meninggal dunia, saya memberitahu anak saya, saya akan mencuba kumpul duit sendiri untuk beli kereta kerana pendapatan suami saya tidak mencukupi,” katanya.

Ann bagaimanapun tidak memberitahu bayaran yang diterimanya.

Bagaimanapun, Associated Press melaporkan, anak perempuan pasangan itu dibayar AS$28 (RM113) sejam ketika bekerja sementara di restoran sama tahun lalu.

Pengurus restoran, Jackie Barnicoat berkata, dia gembira dengan kerja yang dilakukan Ann. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 5:48 AM