KEMPEN Hari Hentikan Buli Siber 2016 di Malaysia.
BULI siber boleh merosakkan keyakinan diri.
Faizatul Farlin Farush Khan


Secara purata, penggunaan Internet dalam kalangan pelajar sekolah di semua negeri di Malaysia melebihi 90 peratus.

Daripada jumlah itu, satu daripada empat pelajar pernah mengalami buli siber. Bagaimanapun kajian pada 2015 mendapati, kebanyakan pelajar mampu mengenali perbuatan buli dan sedar ia boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Berhadapan tekanan rakan sebaya secara dalam talian, majoriti kanak-kanak di Malaysia dilihat mampu menggunakan kaedah menyekat atau menukar status kepada ‘privacy’.

Pada masa sama, mereka juga mengetahui saluran betul untuk membuat aduan sekiranya berhadapan dengan buli siber, antaranya kepada guru dan pihak berkuasa relevan.

Bagaimanapun, masih ramai yang mengambil tindakan berdiam diri dan hanya berharap kegiatan buli siber berhenti, berbanding menceritakan masalah mereka kepada orang dewasa.

Maklumat terbabit berdasarkan laporan kajian Digi CyberSAFE yang dijalankan di seluruh negara pada 2015 oleh syarikat telekomunikasi, Digi Telecommunications Sdn Bhd dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ia turut mendedahkan pelajar di negara ini lebih sedar mengenai sikap sosial yang boleh diterima ketika melayari Internet dan lebih terbuka mengikut peraturan ditetapkan oleh ibu bapa mereka. Secara keseluruhan, kira-kira 67 peratus pelajar mengakui mampu menangani dan mengawal masalah buli siber tanpa bantuan orang dewasa.

Peratusan tinggi itu boleh dikaitkan dengan usaha konsisten dilakukan bagi meningkatkan kesedaran keselamatan Internet dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini, termasuk program Digi CyberSAFE.

Sempena kempen ‘Hari Hentikan Buli Siber 2016’, Digi turut bersama-sama berganding bahu dengan syarikat telekomunikasi antarabangsa, Telenor Group, yang beroperasi di 13 negara, untuk memperkukuhkan matlamat meningkatkan kesedaran mengenai masalah itu.

Buli siber merujuk kepada komunikasi secara elektronik yang dilakukan dengan tujuan untuk membuli.

Statistik kajian menunjukkan kira-kira 37 peratus pelajar sekolah di Malaysia pernah mengalami atau terbabit dengan perbuatan buli siber.

Sehubungan itu, ia menunjukkan pendidikan menangkis buli siber amat diperlukan untuk menghalang kadar buli yang semakin meningkat.

Antara langkah diambil ialah Hari Hentikan Buli Siber 2016 dengan sebaran mesej #SCD2016 yang dilancarkan oleh Yayasan Cybersmile.

Tahun lalu saja, gerakan kempen itu berjaya sampai kepada 45 juta pengguna Internet dan pada tahun ini, Telenor berharap jumlah itu akan meningkat.

Pengurus Pengaturcara Kelestarian Digi, Philip Ling berkata, Digi dan Telenor gigih mempertingkatkan keselamatan Internet dan digital untuk semua, dengan penekanan kepada golongan kanak-kanak dan remaja.

“Program ini turut menjalinkan kerjasama dengan Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef) secara aktif menggerakkan inisiatif pembinaan kapasiti bagi remaja dan kanak-kanak serta kerjasama dengan talian aduan Childline Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada jenayah buli siber, Telenor Group memberikan panduan kepada ibu bapa untuk melindungi keselamatan anak mereka daripada menjadi mangsa.

Melalui panduan itu, ibu bapa ditekankan mendidik anak-anak penggunaan Internet yang betul iaitu antaranya untuk belajar dan mencari maklumat, berhubung dengan orang lain, hiburan dan peluang mendapatkan pekerjaan serta pendapatan.

Ibu bapa juga disaran meletakkan garis panduan kepada anak ketika melayari Internet supaya mereka bijak dan selamat daripada dibuli. Ini kerana ibu bapa tidak mampu memantau setiap gerak geri anak ketika menggunakan Internet.

Antara panduan yang boleh diberikan ibu bapa:

• Nasihatkan anak tidak sesekali berkongsi atau mendedahkan kata laluan akaun kepada orang lain.

• Ibu bapa perlu meletakkan sekatan pada alat komunikasi milik anak seperti tablet, telefon pintar, komputer dan laptop, sesuai dengan usia anak masing-masing.

• Ibu bapa juga perlu tahu soalan yang harus ditanya kepada anak berkaitan penggunaan Internet yang selamat supaya anak mereka tidak terjebak dengan masalah buli siber.

Panduan penuh berkaitan keselamatan melayari Internet dalam kalangan pelajar sekolah selain mengelak mereka menjadi mangsa jenayah buli boleh dibaca di http://www.telenor.com/wp-content/uploads/2015/11/SAFE-BOOK-INTL-TG_safe....

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 12:44 PM