DATUK Bandar, Datuk Mohamad Kamil Othman pada Sidang Media. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bersetuju untuk memberi kelonggaran kepada semua peniaga Bazar Ramadan di bandar raya itu untuk beroperasi sehingga hari terakhir Ramadan.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mohamad Kamil Othman berkata, pihaknya mendapat arahan Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman supaya melanjutkan tempoh urus niaga di Bazar Ramadan sehingga lewat malam raya seperti tahun sebelumnya.

"Keizinan itu adalah bertujuan memberi peluang kepada peniaga untuk berniaga dan mendapat keuntungan pada malam hari raya.

"Difahamkan pada malam hari raya, peniaga-peniaga biasanya membuat lelongan barang sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk membeli pada harga yang rendah.

"Cuma MBKT berharap, peniaga di bazar berkenaan lebih berdisiplin menjaga kebersihan dengan membuang sampah di tempat pembuangan yang disediakan di situ," katanya ketika sidang media di Pejabat MBKT, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 3:10 PM