Pengurus Kanan Kumpulan Strategik dan Komunikasi Petronas Zahariah Abdul Rahmad (empat, kanan) bersama pelakon dan krew iklan Raya Petronas di Kuala Lumpur. - Foto Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Hari Raya Aidilfitri akan disambut tidak lama lagi dan suasananya tidak sama jika Petronas tidak menyiarkan iklan Hari Raya yang menyentuh hati.

Bagi merealisasikannya, Petronas hari ini menyiarkan iklan raya bertajuk "Vroom Vroom" selama lima minit mengisahkan nasib seorang bapa dan anaknya yang diusir dari rumah mereka pada suatu malam.

Perjalanan cerita kemudian berkisar kepada keazaman bapa untuk kembali membawa keceriaan kepada anaknya walaupun terpaksa mengharungi kesusahan hidup.

Menurut Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abd Rahman, ‘Vroom Vroom’ menggambarkan nilai sederhana boleh memberi inspirasi dan mempengaruhi nilai baik seperti kesabaran, kemaafan dan kekeluargaan.

Iklan Raya Petronas akan disiarkan menerusi stesen televisyen tempatan bermula 1 Julai namun penonton boleh melayari saluran rasmi Petronas di www.petronasofficial.com untuk menontonnya bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 12:24 AM