BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Kontena Nasional Berhad (kanan) dituduh pecah amanah membabitkan hampir RM10 juta bersama Abdul Jalil MD Tahir (kiri) dituduh bersubahat. FOTO Rosdan Wahid
Oleh Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kontena Nasional Berhad, Hood Osman, 46, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini, atas tuduhan penipuan cek dan pindahan wang tunai dalam talian berjumlah RM9.9 juta.

Tertuduh yang didakwa bersubahat dengan seorang ejen syarikat itu Abdul Jalil Mat Tahir, 48, didakwa melakukan pecah amanah membabitkan penipuan lapan cek dan dua pindahan wang tunai dalam talian dengan jumlah keseluruhan RM9.9 juta.

Kedua-duanya didakwa melakukan perbuatan itu antara 24 Mac hingga 24 Ogos 2012 di pejabat syarikat itu di Batu 9 Jalan Klang Lama.

Bagaimanapun kedua-duanya tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Noradidah Ahmad mengenakan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Perbicaraan ditetapkan pada 6 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 1:15 PM