DEMO Resident Evil 7 tampil  formula baru dan kekalkan elemen asal iaitu seram.
DEMO Resident Evil 7 tampil formula baru dan kekalkan elemen asal iaitu seram.
Hazril Md Nor


Masih ingat keluaran pertama Resident Evil? Ia seram, mencabar dan penuh teka-teki membingungkan. Formula itu menjadikan RE terkenal kerana mempopularkan genre ‘survival horror’ bahkan turut dikenang sebagai permainan video klasik sepanjang zaman.

Namun, itu semua berubah sewaktu industri menjengah era RE4 hingga RE6 apabila elemen permainan lebih kepada letupan bom, senjata canggih atau paling tepat, genre aksi. Langkah ini juga membuatkan francais RE mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.

Bagaimanapun, baru-baru ini, Capcom cuba kembali ke trek asalnya dengan judul ketujuh yang penuh pembaharuan, hampir menyamai permainan video P.T hasil sentuhan Hideo Kojima.

Lebih seram, perseorangan

Demo yang dikeluarkan di Playstation Store baru-baru ini menunjukkan Capcom kini cuba menghidupkan kembali genre ‘survivor horror’ yang sudah pupus ditelan zaman.

Bertajuk Resident Evil 7: The Beginning Hour, sedutan klip video pada permulaan permainan menunjukkan protagonisnya, Clancy yang juga seorang jurufoto sedang diikat. Kemudian kelihatan seorang lelaki cuba membebaskan anda dengan memotong tali.

Selepas klip video mengalami gangguan, anda bangun semula dalam sebuah bilik gelap dan tertulis arahan untuk keluar dari rumah itu.

Dalam format perseorangan, ia lebih seram kerana permainan ini turut menyokong fungsi VR. Capcom turut mengembalikan kesan bunyi menyeramkan dan suasana suram yang sentiasa menaikkan bulu roma anda.

Ini semua dirasai selepas anda membuka pintu untuk keluar mencari klu penting. Secara ringkasnya, objektif anda ialah mencari kunci rumah yang perlu diperoleh dari bilik rahsia.

Pelbagai rintangan dengan elemen seram perlu dihadapi seperti mencari pemotong di bangkai haiwan, melalui dapur yang kotor mahupun menonton klip yang seolah-olah disediakan untuk anda di dalam sebuah almari.

Klip video itu apabila dipasang menunjukkan diri anda bersama dua rakan sekerja iaitu seorang hos, Pete dan penerbit dikenali sebagai Andre. Rupa-rupanya tujuan asal ke rumah itu adalah menyiasat misteri kehilangan keluarga The Bakers.

Andre yang hilang secara tiba-tiba dalam rumah membuatkan anda berdua cemas dan mencarinya hingga melalui laluan rahsia. Namun, Andre sudah pun mati apabila ditemui dan puncanya tidak diketahui.

Kembali ke realiti

Selepas klip video terganggu, anda sekali dikejutkan di dalam bilik gelap tadi dan boleh menemui kunci rumah di laluan rahsia sebelum ini.

Sewaktu anda cuba keluar dari rumah buat kali kedua, akan muncul kelibat manusia yang berlegar di rumah itu. Ini pasti membuatkan anda musykil mengenai misteri kehilangan keluarga The Bakers.

Namun, setibanya di pintu keluar, anda akan menyaksikan kelibat manusia yang amat aneh rupanya dan menumbuk Clancy hingga pengsan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 12:03 PM