PEMBUAT blok untuk menghasilkan batik, Zakaria Ismail menunjukkan antara produknya.
BATIK guna blok punya keunikan tersendiri.
PELBAGAI barangan persiapan raya dijual di Promosi Warna-Warni Adilfitri 2016.
Suliati Asri


Kembali memeriahkan persiapan Aidilfitri untuk tahun ke-12, Promosi Warna-Warni Aidilfitri 2016 menawarkan pelbagai jenis produk dan barangan yang diperlukan untuk menyambut lebaran.

Bermula 22 Jun lalu sehingga 3 Julai ini di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay, Promosi Warna-Warni Aidilfitri 2016 mengetengahkan konsep penggunaan produk kraf tempatan dalam persiapan menyambut Aidilfitri seperti hiasan dalaman rumah, baju raya, aksesori, peralatan dan banyak lagi.

Ia bertujuan menggalakkan penyertaan usahawan kraf dan Aidilfitri memasarkan produk mereka terus kepada pengguna dan pengunjung.

Aktiviti ini juga bertujuan membangun dan menjana sumber ekonomi kepada usahawan kraf dan Aidilfitri.

Dianjurkan sejak 2003, tahun ini batik blok antara kelainan diketengahkan Kraftangan Malaysia.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz berkata, mempromosikan kembali batik blok adalah keunikan dan kelainan yang diketengahkan dalam Promosi Warna-warni Aidilfitri 2016.

“Batik lama iaitu batik blok mempunyai keunikan tersendiri. Kerana itu, tahun ini kita bawa orang yang terbabit dengan batik blok supaya kita boleh mempromosikan kembali keunikan batik ini.

“Kini, batik canting sangat popular, tapi batik blok juga punya keunikan yang perlu dihidupkan kembali.

“Dengan adanya penjualan, demonstrasi kraf membuat batik blok dan acuannya, batik ini boleh dihidupkan kembali, sekali gus menambah kepelbagaian industri batik,” katanya yang juga sukakan batik lama.

Dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam, seramai 220 usahawan kraf dan perkhidmatan Aidilfitri menyertai promosi kali ini.

Antara produk kraf yang ditawarkan ialah tekstil, aksesori dan persiapan diri, hiasan dalaman, hadiah, kuih dan biskut raya serta banyak lagi.

Selain menawarkan pelbagai barangan, Promosi Warna-warni Aidilfitri 2016 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik, antaranya demonstrasi produk kraf, demonstrasi masakan dan kuih tradisional, interaktif kraf dan persembahan kesenian.

Justeru, bagi anda yang masih belum melakukan persiapan Aidilfitri, kunjungan ke Promosi Warna-Warni Aidilfitri 20016 pasti memudahkan persiapan anda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 12:08 PM