ANTARA sumber makanan yang memberi manfaat kepada kesihatan kulit.
ANTARA sumber makanan yang memberi manfaat kepada kesihatan kulit.
ANTARA sumber makanan yang memberi manfaat kepada kesihatan kulit.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my

Makanan bukan saja boleh mempengaruhi kesihatan, malah membantu mengekalkan kehalusan dan kecantikan kulit. Mengambil nasihat daripada nenek dan ibu sebagai petua turun-temurun, mungkin banyak membantu mendapat kulit yang sihat.

Antara enam jenis makanan yang boleh diamalkan bagi mendapatkan kulit menawan ialah:

• Yogurt

Ada manfaat yang boleh diambil daripada pembuatan yogurt ini apatah lagi jika ia dimasukkan dalam senarai diet harian. Yogurt dikenali sebagai sumber terbaik dalam antipenuaan dan kaya dengan kalsium serta protein.

Selain itu, yogurt juga mengandungi probiotik yang memberi manfaat di dalam salur makanan, sekali gus menghalang timbul masalah ketidakcernaan.

• Buah beri

Buah ini sumber antioksidan yang baik untuk kulit. Bukan itu saja, mengambil beri dalam diet harian membantu untuk mendapatkan kulit yang bersinar.

• Kekacang dan bijian

Bukan hanya memberikan tekstur di dalam sajian, kedua-dua jenis makanan ini sumber lemak sihat yang menakjubkan di samping mengandungi omega-3.

Omega-3 membantu memperbaiki keanjalan kulit. Kekacang juga kaya dengan fitokimia, vitamin dan zat besi yang membantu meningkatkan pengeluaran kolagen. Bijian pula mengandungi pelbagai jenis vitamin dan mineral seperti vitamin E, selenium dan zat besi yang memberi manfaat kepada kesihatan kulit.

• Teh hijau

Teh hijau mengandungi polifenol iaitu flavonoid yang terkenal dengan kandungan antioksidan serta kesan pencegahan kanser yang baik.

Sama ada menjadikan teh hijau sebagai minuman harian atau melalui aplikasi sapuan, ia membantu memberikan perlindungan kepada bahaya cahaya matahari, antiradang dan antikarsinogen.

• Kunyit

Kunyit terkenal sebagai antiradang yang membantu mencegah daripada kerosakan kulit selain boleh dijadikan sebagai kaedah rawatan jerawat. Campuran sesudu atau dua serbuk kunyit ke dalam gelas bersama susu panas antara cara terbaik untuk memperoleh manfaat kunyit.

• Kacang bendi

Kacang bendi pula kaya dengan vitamin A dan beta karotena yang baik untuk kesihatan kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 1:02 PM