X
MEMINTA maaf pada ibu bapa satu kemestian, malah menjernihkan kembali hubungan kekeluargaan yang sebelumnya renggang.
MEMINTA maaf pada ibu bapa satu kemestian, malah menjernihkan kembali hubungan kekeluargaan yang sebelumnya renggang.
AMALAN berkunjung ke rumah saudara-mara mengeratkan silaturahim.
AMALAN berkunjung ke rumah saudara-mara mengeratkan silaturahim.
MENZIARAHI kubur ahli keluarga sebahagian aktiviti di pagi raya. - gambar hiasan
MENZIARAHI kubur ahli keluarga sebahagian aktiviti di pagi raya. - gambar hiasan
Siti Salmiah A Hamid


Bermula esok, jalan dan lebuh raya di seluruh negara dijangka mulai sesak dengan kenderaan apabila golongan perantau mula balik kampung untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

Setiap tahun, isu kesesakan jalan raya pada musim perayaan pasti menjadi buah mulut sehingga ada yang mempersoalkan adakah tradisi balik kampung masih relevan dengan masyarakat moden kini?

Bagi menjawab persoalan ini, NUANSA mendapatkan pandangan Pensyarah Sosiologi Organisasi (Pengurusan) di Pusat Pengajian Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Ab Samad Kechot.

Beliau berkata, secara umumnya masalah ini sukar diatasi kerana sejak sekian lama, di Malaysia kebanyakan kaum menyambut perayaan masing-masing di kampung halaman.

Lebih istimewa, katanya, kaum atau penganut yang tidak terbabit dengan perayaaan itu turut balik kampung kerana mendapat cuti panjang.

Sebagai contoh, bukan Islam turut balik kampung untuk bertemu keluarga ketika umat Islam berpusu-pusu di lebuh raya bagi menyambut Aidilfitri.

“Secara umum semua masyarakat di Malaysia menyambut perayaan di kampung. Mereka akan bersedia lebih awal termasuk berbincang dengan ahli keluarga bagi menentukan cuti, kos perlu dibelanjakan dan kampung siapa yang hendak dituju.

“Ini satu tradisi dan berlaku dalam mana-mana etnik di Malaysia. Malah dalam konteks universal pun seperti di India dan Indonesia, mereka sanggup ‘bertenggek’ di atas bumbung kereta api semata-mata mahu mendapat tempat untuk pulang ke kampung.

“Rakyat Indonesia yang berada di sini pun menempah tiket kapal terbang berbulan-bulan lebih awal atau sanggup bersesak menaiki bot dan feri agar dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman.

Dr Ab Samad berkata, sudah pasti pelbagai persiapan dilakukan sama ada di rumah sendiri mahupun di kampung bagi menikmati keseronokan Aidilfitri bersama keluarga dan sanak-saudara.

Namun, percaya atau tidak, tradisi balik raya di kampung sedikit demi sedikit makin luput dan dianggap tidak relevan lagi serta membazir masa bersesak-sesak di jalan raya.

Katanya, secara umumnya ada tiga kategori umat Islam yang menyambut Aidilfitri mengikut cara masing-masing.

“Golongan pertama tetap dan ingin balik kampung walaupun perlu menempuhi pelbagai kesukaran. Mereka berusaha akan berada di kampung sekurang-kurangnya sehari sebelum 1 Syawal bagi menyambut lebaran bersama keluarga dan saudara-mara.

“Golongan ini akan membuat perancangan rapi terutama soal menyelenggara kereta, menyediakan duit minyak dan tol untuk balik kampung. Bagi yang tiada kenderaan, mereka akan menempah tiket bas, kereta api atau kapal terbang lebih awal.

“Bagi mereka walaupun kosnya tinggi, balik kampung tetap menjadi perkara utama,” katanya.

Golongan ini biasanya masih ada ibu bapa atau mentua di kampung.

Berlainan pula dengan golongan kedua yang masih pulang ke kampung tetapi hanya selepas solat sunat Aidilfitri atau pada gari raya kedua.

“Golongan ini sudah berkeluarga dan ada anak yang sudah dewasa, bermastautin di bandar dan mungkin tiada lagi ibu bapa di kampung.

“Golongan ini kebanyakannya warga emas tetapi masih ada saudara-mara di kampung. Mereka akan berkumpul sesama ahli keluarga dulu di bandar sebelum balik kampung pada sebelah petang atau keesokannya.

“Ada juga dalam golongan ini terpaksa pulang selepas Aidilfitri disebabkan kekangan tugas. Sebahagian lagi balik lewat kerana kehabisan tiket untuk pulang awal,” katanya.

Golongan ketiga pulanya, katanya, menganggap tradisi balik beraya kampung sudah ketinggalan zaman dan membazir masa.

“Golongan ketiga ini sama ada tidak lagi mengamalkan tradisi menziarahi saudara-mara di kampung kerana hanya menyambut perayaan di bandar atau lebih gemar meraikannya di luar negara.

“Percaya atau tidak menyambut Syawal di luar negara kini menjadi trend segelintir orang Melayu.

“Mereka lebih bersikap terbuka dan mengikut ‘selera’ masa kini apabila disogok dengan keindahan negara luar sedangkan masih ada saudara-mara di kampung.

“Mereka mungkin dalam kalangan aristokrat dan selebriti yang berbangga berkongsi kisah menyambut raya di London, Paris, Switzerland di media sosial seperti Facebook dan Instagram.

“Mentaliti segelintir orang Melayu kota. Sesetengahnya balik kampung hanya untuk menunjuk-nunjuk pakaian mahal, aksesori dan kereta baru. Apabila tidak dapat mengekalkan gaya mewah sama untuk tahun berikutnya, mereka malu balik kampung bimbang dikutuk dan diperlekeh keluarga dan ipar duai.

“Ada juga yang tak balik kampung kerana tak mampu menyediakan kos yang tinggi untuk berbuat demikian. Mereka menghabiskan masa bersama ahli keluarga di kota kerana malu dipandang rendah oleh saudara-mara.

Dr Ab Samad berkata, faktor perbandaran turut menjadi faktor kepada golongan ketiga.

“Apabila seseorang itu dilahirkan di kota, mereka menjadi sebahagian daripada urbanisasi. Mereka ada keluarga tetapi di kampung yang sudah mengalami proses perbandaran. Ungkapan balik kampung pada mereka sebenarnya merujuk kepada ‘balik bandar’,” katanya.

Katanya, ada beberapa faktor penyebab bercambahnya golongan ketiga. Antaranya, nilai, cara dan gaya hidup orang Melayu sudah berubah. Hubungan kekeluargaan sudah renggang. Apabila berhijrah ke bandar, mereka menyerap elemen urbanisasi seperti pentingkan diri sendiri dan lebih parah apabila hanya mengutamakan hiburan serta soal kebendaan.

Secara peribadi, beliau mahu hari yang mulia ini diwarnakan kembali dengan tradisi balik kampung, namun semua pihak perlu memainkan peranan untuk mengembalikan semula budaya ini.

“Ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak untuk mengekalkan tradisi ‘belut pulang ke lumpur’ ini.

“Selain pengukuhan agama dalam masyarakat, aspek pendidikan juga memainkan peranan dengan memasukkan subjek berkaitan di sekolah dan universiti.

“Media turut berperanan menerusi lagu, video dan iklan dengan memaparkan kisah yang boleh me­ngembalikan nostalgia masyarakat untuk merasai kesyahduan berhari raya di kampung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 5:18 AM