DR Aidil Azry Mokhtar.
Siti Nadirah Hafidzin


Setiap tutur katanya tersusun, sesekali diselitkan lawak jenaka menghiburkan menampakkan lelaki berstatus doktor ini amat mudah didekati walaupun pada pertemuan pertama.

Tanggapan penulis yang sering melabelkan golongan doktor sebagai individu yang agak sukar didampingi dan pendiam ternyata meleset sama sekali tatkala pertemuan diatur dengan doktor perubatan estetik ini.

Kulit wajahnya putih bersih dan penampilan kemas melambangkan dia sememangnya lelaki yang menjaga penampilan diri sesuai dengan kerjayanya yang mempunyai kaitan rapat dengan penampilan diri seseorang.

Ternyata kerjaya bergelar doktor perubatan estetik bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi apabila diberi kepercayaan untuk memastikan apa yang dimahukan pelanggan dapat direalisasikan.

Bagi Dr Aidil Azry Mokhtar, 39, yang juga pengasas Idealyst Clinic & Medispa, pilihannya berkecimpung dalam bidang itu atas faktor minat kerana dia sememangnya suka melihat sesuatu yang cantik serta ideal.

“Perubatan estetik mampu membantu individu mengembalikan semula keyakinan diri apabila kecantikan fizikal dapat diperbaiki ke tahap yang lebih baik seperti diimpikan.

“Saya yakin bidang yang saya ceburi ini adalah jiwa saya kerana ia sememangnya bertepatan dengan minat, kepakaran serta pengalaman yang saya ada dalam bidang estetik,” katanya.

Menurut Dr Aidil Azry, menggunakan pengalaman lebih lima tahun berkhidmat dalam bidang itu dengan sebuah klinik menyebabkan dia tekad mengusahakan klinik perubatan estetik dan medispanya sendiri sejak dua tahun lalu.

“Sejak membuka klinik sendiri saya tidak sesekali menoleh ke belakang dan sentiasa mencari kelainan terutama bagi memastikan setiap perkhidmatan saya terbaik dan memenuhi kehendak pelanggan.

“Pastinya jika disebut mengenai perubatan estetik, ia memberi pengertian seseorang itu mahu mendapatkan rawatan sama ada untuk wajah atau tubuh supaya lebih cantik dan menyerlah menyebabkan saya perlu berusaha keras membantu setiap pelanggan mendapatkan apa yang dimahukan,” ujarnya.

Dr Aidil Azry yang juga anak kelahiran Selangor itu berkata, mungkin atas faktor minat, kepakaran, pengalaman serta ketelitian dalam menjalankan tugas, dia tidak tertekan atau mudah putus asa dalam mengendalikan tugasnya.

“Saya sukakan sesuatu yang cantik dan nampak sempurna dan disebabkan itu saya berusaha membantu individu untuk tampil menawan seperti yang mereka inginkan.

“Bidang ini bukan sesuatu yang mudah atau boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia memerlukan pengetahuan serta pengalaman dalam mengendalikan sesuatu kes,” katanya.

Elak masalah

Pastinya pelanggan yang mahu menjalankan perubatan estetik berdepan dengan risiko dan kemungkinan ketika atau sepanjang sesi rawatan dijalankan.

Bidang khas ini memberi tumpuan kepada pembaikan rupa bentuk wajah, kulit dan badan yang berasaskan kaedah dan produk saintifik. Dalam erti kata lain, perubatan estetik membantu individu untuk mencapai rupa wajah yang terbaik dan bentuk badan yang boleh meningkatkan keyakinan diri selain ia selamat untuk kesihatan mereka.

Menurut Dr Aidil Azry, dia memastikan pelanggannya diberi penerangan lengkap serta jelas mengenai setiap rawatan yang dikehendaki bagi memastikan tidak berlaku masalah di kemudian hari.

“Sebelum prosedur rawatan dijalankan, sesi penerangan dijalankan beberapa kali bagi meneliti setiap kemahuan pelanggan, menerangkan kesan serta risiko yang mungkin dihadapi.

“Bukan berniat untuk menakutkan kerana rawatan ini selamat, namun saya juga manusia biasa dan segalanya termasuk kesan yang dikehendaki mengikut kekuasaan Yang Maha Esa,” katanya.

Dr Aidil Azry berkata, dia sentiasa menggunakan rawatan dan produk terbaik bagi memastikan setiap hasil rawatan mengikut apa yang diharapkan pelanggan.

“Syukur, kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan rawatan yang mereka lakukan bersama kami dan ia membuatkan saya perlu sentiasa berusaha memperbaiki perkhidmatan hari demi hari.

“Walaupun sudah dikenali dan mendapat kepercayaan daripada pelbagai golongan pelanggan termasuk artis ia tidak sedikit pun menyebabkan saya berlapang dada,” ujarnya.

Menurutnya, dalam perubatan estetik, pelanggan perlu melakukan rawatan berterusan dan bukan hanya berhenti pada rawatan pertama tanpa ada susulan.

“Tanggapan pelanggan yang sering berharap apa yang mereka mahukan akan terus menjadi kenyataan selepas menjalankan rawatan kali pertama adalah salah.

“Untuk kekal cantik, individu itu perlu melakukan rawatan susulan mengikut jadual ditetapkan bagi memastikan hasil diinginkan kekal lama,” katanya.

Lahir jenama sendiri

Dalam apa juga bidang diceburi mempunyai dugaan tersendiri. Bagi Dr Aidil Azry yang juga graduan perubatan di Kolej Universiti Dublin Ireland, antara cabaran terbesar dalam mengendalikan bidang itu adalah untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan selain mengembangkan perniagaannya.

“Bukan mudah untuk meyakinkan pelanggan mendapatkan rawatan di tempat saya, namun berkat kesabaran serta kegigihan saya dan pasukan akhirnya ia semakin membuahkan hasil.

“Untuk terus berjaya, ia memerlukan perancangan teliti dan atas faktor itu saya sentiasa komited memberikan yang terbaik untuk merealisasikan kehendak pelanggan,” katanya.

Dr Aidil Azry yang mempunyai satu cawangan klinik perubatan estetik di Damansara dan tiga cawangan medispa di Shah Alam, Damansara dan Johor Bahru kini semakin yakin bidang diceburinya sememangnya pilihan tepat.

“Saya kini fokus untuk mengukuhkan jenama saya di samping produk kecantikan sendiri iaitu Royal Glow.

“Saya juga mengambil kesempatan perkembangan dunia teknologi kini dengan memasarkan jenama saya menggunakan Facebook dan Instagram,” ujarnya.

Tambahya, harapannya kini adalah untuk melihat apa yang diusahakan atas faktor minat itu membuahkan hasil seperti diharapkan selain dapat membantu lebih ramai individu yang mahu tampil cantik dengan menggunakan rawatan estetik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 5:36 AM