Muhammad Anas terbaring selepas dilanggar. FOTO ihsan PDRM
Norul Awatif Romli


Alor Setar: Anggota polis patah kaki dan cedera di muka selepas dilanggar mat rempit dalam Op Samseng Jalanan berdekatan lampu isyarat Kepala Batas, di sini, awal pagi tadi.

Anggota terbabit Konstabel Muhammad Annas Ikmal Mior Arif Ariffin, 21, dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi mendapatkan rawatan segera berikutan tidak sedarkan diri sebaik dirempuh sebuah motosikal ditunggang suspek berusia 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, kejadian berlaku jam 3.10 pagi letika anggota terbabit bersama 22 yang lain ditugaskan mengadakan sekatan jalan raya sempena Op Samseng Jalanan.

Bagaimanapun, katanya, datang sebuah motosikal dari arah bertentangan yang kemudian merempuh mangsa lalu memecut motosikal bagi melarikan diri, namun tindakan pantas polis berjaya mengesannya.

"Siasatan polis berjaya menahan suspek berasal dari Felda Bukit Tangga, Changlun tadi dan direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000," katanya.

Katanya, dalam operasi bermula jam 11.30 malam tadi dan berakhir jam 5 pagi ini pihaknya mengeluarkan sebanyak 66 saman membabitkan 81 kesalahan selain menyita 14 motosikal kerana melakukan kesalahan tiada lesen serta cukai jalan tamat tempoh.

"Hasil operasi dijalankan kita menahan sebanyak 112 motosikal membabitkan 132 individu berusia antara 15 hingga 25 tahun dan kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Kepala Batas untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 12:50 PM