Chong Wei mahu dua jurulatihnya berada di Rio. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mahu dua jurulatihnya, Hendrawan dan Tey Seu Bock bersamanya pada Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos depan.

Kad akreditasi yang terhad untuk jurulatih ke Sukan Olimpik Rio menyukarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memilih siapa bakal berada di tepi gelanggang ketika Chong Wei beraksi nanti.

Bagi Chong Wei, kehadiran dua jurulatihnya di Sukan Olimpik itu penting untuk menganalisis prestasinya dan pihak lawan.

"Seperti dimaklumkan oleh Datuk Seri Mohamad Norza (Mohamad Norza Zakaria) dan Tan Sri Mohamed Al Amin (Abdul Majid), kita ada masalah akreditasi terhad untuk jurulatih.

Mohamad Norza merupakan timbalan presiden BAM sementara Mohamed Al Amin pemangku Presiden BAM.

"Saya pernah minta jurulatih Hendrawan dan Sue Bock untuk bersama saya di Rio nanti. Saya perlu dua jurulatih bantu sebagai penganalisa perlawanan lawan. Sebelum ini juga saya dibantu dua jurulatih di Olimpik," katanya.

Chong Wei berkata selepas menjalani latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

Sebelum ini nama juara dunia 2001 dan pemenang pingat perak Olimpik 2000, Hendrawan dan Seu Bock sudah disenaraikan namun tindakan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa mengehadkan empat kad akreditasi untuk jurulatih dan pegawai sokongan mengakibat segala perancangan awal terpaksa dirombak semula.

Biarpun BAM masih boleh membawa jurulatih setiap wakil mereka namun kehadiran mereka hanya sekadar di tempat duduk penonton selain tidak dapat bersama pemain walaupun di perkampungan sukan.

Kontinjen Olimpik negara kali ini akan menghantar lima wakil dalam sukan badminton termasuk Tee Jing Yi (perseorangan wanita), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) dan Vivian Hoo-Woon Khe Wei (beregu wanita).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 5:42 PM