LIZA bersama kakitangan HM.
LIZA bersama kakitangan HM.

Assalamualaikum kepada anda yang mungkin baru hari ini berpeluang singgah di ruangan kecil Liza ini, terima kasih banyak-banyak. Liza berada di Melaka minggu lepas untuk 'showcase' Aku Saleem di Hard Rock Cafe. Rupa-rupanya, bisa Saleem masih belum hilang melihatkan kehadiran peminatnya di 'showcase' minggu lalu.

Saleem menyampaikan beberapa lagu yang pernah menjadi siulan peminatnya seperti lagu Tinggal Kenangan, Hakikat Sebuah Cinta dan Suci Dalam Debu.

Peminat beliau juga tidak melepaskan peluang untuk menyanyi bersama-sama. Peluang untuk berada dalam 'showcase' ini bukanlah pengalaman kerja semata-mata tetapi Liza juga mendapat sesuatu yang lebih berharga.

Saleem seorang yang sangat mudah didekati, peramah dan baik orangnya serta dikelilingi insan-insan yang kuat menyokong.

Saleem hadir di showcase pada hari itu bersama isteri yang juga pengurusnya serta anak-anak mereka. Melihatkan sokongan dan kerjasama anggota keluarga untuk merealisasikan 'showcase' itu, saya fikir Saleem sangat bertuah.

Seronok berada di sekeliling mereka membuatkan Liza terlupa kunjungan ke sana untuk bekerja kerana seperti datang bersama 'keluarga' untuk bercuti. Ya, itulah pengalaman yang tidak dapat ditukar ganti dan Liza doakan semoga Saleem dan keluarganya terus dikurniakan kesihatan yang baik dan diberikan rezeki yang tidak putus-putus.

Terima kasih kepada seluruh tenaga kerja showcase Saleem dan jika ada rezeki, dapatlah kita berjumpa lagi. Sebuah lagi keluarga yang Liza sempat bertemu pada hujung minggu yang lalu adalah keluarga Harian metro sempena Karnival Harian Metro (HM) Padat.

Selepas tamat Projek Metro tahun lalu, kali ini, Liza bertemu mereka di tapak karnival yang dianjurkan sebagai tanda meraikan pembaca setia akhbar ini sekali gus menjadi antara acara besar menutup tirai 2014.

Ada banyak aktiviti dan peluang untuk pembaca setia HM memenangi pelbagai hadiah menarik sepanjang karnival tempoh hari. Selain mengendalikan pertandingan karaoke di pentas utama, Liza sempat mengendalikan booth yang menganjurkan pertandingan solekan.

Ada beberapa perkara yang Liza belajar di sini sepanjang dua pertandingan diadakan di situ. Liza kongsikan sedikit cerita untuk anda yang tidak berada di sana. Pertandingan karaoke dimenangi seorang wanita, Kak Rosiah yang saya fikir sangat istimewa kerana dia juga mempunyai anak kurang upaya lingkungan usia awal 20-an.

Anak istimewa Rosiah juga minat menyanyi dan mengambil bahagian dalam pertandingan karaoke berkenaan. Cekalnya wanita itu dan Alhamdulillah dia juga dikurniakan dengan vokal yang merdu.

Apapun, Liza doakan semoga Kak Rosiah terus dikurniakan rezeki yang berterusan dan sentiasa cekal membesarkan anak istimewanya itu. Tahniah juga Liza ucapkan untuk mereka yang mengambil bahagian di booth yang mengendalikan pertandingan solekan.

Jurusolek junior yang mencari tapak untuk bergelar jurusolek profesional dalam bidang ini juga harus diberi pujian. Liza kagum dengan kesungguhan mereka menonjolkan bakat masing-masing dengan kehadiran jurusolek selebriti, Zulfazli Suhadi sebagai juri mereka.

Ada banyak lagi pertandingan diadakan di pelbagai booth pada hari berkenaan. Secara keseluruhannya, Liza berasa penganjuran karnival seumpama ini adalah sangat bagus untuk anda yang mencari peluang atau platform dalam apa juga bidang yang anda ingin lakukan.

Di karnival seperti ini bukanlah peluang untuk datang berhibur semata-mata tapi untuk anda yang ingin mencari 'networking'.

Akhir sekali untuk anda yang berada di kedua-dua lokasi Liza sebutkan tadi iaitu di 'showcase' Aku Saleem di Melaka dan kepada pembaca setia Harian Metro yang memeriahkan Karnival HM Padat di pekarangan Stadium Malawati Shah Alam hujung minggu lalu, jutaan terima kasih Liza ucapkan.

Sehingga kita berjumpa lagi di minggu hadapan. Mimpi yang indah-indah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 5:01 AM