Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Dua rentung manakala dua lagi cedera apabila kereta hilang kawalan lalu melanggar pembahagi dan lampu jalan sebelum terbakar di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Balai Polis Malim, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, difahamkan kereta terbabit dinaiki empat lelaki berusia 20-an dari arah Melaka ke Cheng, hilang kawalan lalu terbabas melanggar tiang lampu dan memasuki arah bertentangan sebelum meletup dan terbakar.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Pegawai Bomba Tinggi Baharudin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.38 malam dan tiba di lokasi pada 8.45 malam.

"Apabila tiba di lokasi, api sedang marak dan menyukarkan kerja menyelamat. Bagaimanapun kita mendapat maklumat dari orang awam, empat individu dalam kereta terbabit, dua daripadanya sudah menyelamatkan diri manakala dua lagi terperangkap di tempat duduk belakang.

"Dua mangsa itu rentung bagaimanapun tidak tersepit, namun gagal membuka pintu kereta," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Baharudin berkata, identiti mangsa belum dapat dipastikan.

Menurutnya, tiga lagi kereta dipercayai terbabit dalam kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 12:10 AM
KEADAAN kereta rentung dalam kemalangan. FOTO Zuhairi Zuber