DUA anak lelaki Che Ta (dari kiri)Ammar dan Aniq.
DUA anak lelaki Che Ta (dari kiri)Ammar dan Aniq.
CHE Ta bersama Zain dan Aaisyah bercuti ke Republik Czech dan Jerman pada raya keempat.
CHE Ta bersama Zain dan Aaisyah bercuti ke Republik Czech dan Jerman pada raya keempat.
Sudirman Mohd Tahir


Setiap kali tibanya Syawal, keluarga selebriti popular Rozita Che Wan dan Zain Saidin sentiasa menjadi tumpuan gara-gara persiapan raya yang dilakukan.

Selain menyediakan 22 pasang baju raya setiap seorang termasuk dua anak lelakinya, Rozita Che Wan yang mesra disapa Che Ta ini akan pergi bercuti ke Republik Czech dan Jerman pada raya keempat ini.

Che Ta, 43, berkata, percutian itu adalah misi terbarunya untuk pergi bercuti dalam tempoh dua bulan sekali.

“Insya-Allah selesai majlis rumah terbuka saya di Alor Setar, Kedah, saya bersama suami dan anak bertolak balik ke Kuala Lumpur. Ini kerana keesokan harinya kami akan berlepas ke Prague dan Jerman selama hampir dua minggu.

“Percutian kali ini membabitkan kami bertiga saja kerana dua anak lelaki saya, Ammar Effendy dan Aniq Ezzra tidak mahu turut serta. Mereka mahu meneruskan sambutan raya dan menghadiri rumah terbuka sanak-saudara dan rakan mereka,” katanya.

Antara lokasi yang menjadi pilihan Che Ta adalah Prague di Republik Czech, dan Berlin serta Frankfurt di Jerman.

Menurut Che Ta, sekembalinya mereka dari dua negara itu pada 20 Julai, dia akan ke Makkah bagi menunaikan ibadah umrah pada 22 Julai ini.

“Alhamdulillah, sekali lagi saya bersama suami dan anak, Aaisyah diberi kesempatan untuk menunaikan umrah. Malah, ia menjadi impian saya untuk kami pergi bertiga. Sebelum ini saya pergi bersama ahli keluarga lain,” katanya.

Berkongsi mengenai anaknya, Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia setahun lapan bulan, Che Ta berkata, anaknya itu makin lasak.

“Kalau dulu dia masih boleh duduk diam, tetapi sekarang dia sangat lasak. Boleh dikatakan kelam-kabut setiap kali nak menyiapkannya sehingga mengambil masa hampir setengah jam.

“Seperti biasa, untuk sambutan Aidilfitri ini saya masih mengekalkan konsep sedondon. Untuk saya sendiri menggunakan khidmat dua pereka fesyen, Qudyn dan Rizman Ruzaini, sementara untuk Aaisyah pula lebih 50 pasang baju raya untuknya,” katanya.

Ambil kursus pemasaran

Memandangkan Che Ta kini menceburkan diri dalam bidang perniagaan, dia mengambil inisiatif sendiri dengan menghadiri kursus pemasaran kelolaan Dr Azizan.

“Saya mula mengikuti kursus itu sejak sebulan lalu. Bukan apa, ia perlu bagi menambah pengetahuan berkenaan strategi pemasaran bagi perniagaan yang dijalankan. Sekurang-kurangnya ia membantu menambah baik apa yang sudah dilakukan sekarang.

“Apa boleh saya katakan, kursus itu sangat bermanfaat buat peniaga seperti saya. Tak salah kalau saya nak katakan, berniaga tanpa ilmu adalah susah. Mungkin perniagaan boleh diteruskan, cuma kesannya lambat.

“Sejak berjinak-jinak dalam bidang perniagaan lebih setahun lalu, saya tidak menyasarkan duit semata-mata, sebaliknya lebih kepada berapa banyak produk yang terjual. Pada saya itu lebih memotivasikan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:04 AM