REKAAN ringkas diketengahkan.
BAKUL, beg anyaman dan bekas pelbagai guna rekaan moden menarik jika dijadikan hiasan.
BEKAS ringkas untuk kuih atau hidangan ringan berasaskan seramik.
BEKAS kuih raya anyaman yang diberi sentuhan baru.
BALANG kaca kuih raya diletakkan dalam bakul rotan.
DAPATKAN pelbagai pilihan di Warna-Warni Aidilfitri 2016.
SERLAHKAN kelainan dengan penggunaan bekas dan dulang berasaskan seramik.
SAADIAH...rekaan tradisional tidak lapuk ditelan zaman.
Hartini Mohd Nawi


Pelbagai kuih raya yang memenuhi meja lebih bermakna apabila ia diisi dalam balang atau bekas menarik beralas pula dulang eksklusif.

Diselarikan pula dengan gaya atau dekorasi pilihan, kehadiran dua elemen berkenaan sekurang-kurangnya menyerikan suasana biar pun ringkas.

Kini, dari bentuk anyaman, moden, kontemporari, futuristik hingga kubisme, dulang atau bekas kuih raya antara keperluan pertama khususnya untuk meraikan kunjungan tetamu Aidilfitri.

Tidak perlu terlalu teliti dalam pemilihan bekas atau dulang kuih raya, memadai dengan rekaan sesuai dekorasi dan tahan lasak.

Malah, anda juga bebas mencipta kelainan pada ruang makan asalkan tetamu selesa dan berselera.

Lebih menarik, bekas kuih raya yang diketengahkan di pasaran mempunyai pelbagai fungsi.

Bukan sekadar untuk diisi kuih raya yang dihidangkan atas meja semata-mata, ia lebih daripada itu kerana ada yang selesa menjadikannya sebagai buah tangan kunjungan ke rumah jiran, sanak saudara atau rakan taulan.

Mungkin juga sesuai dijadikan hiasan ringkas pada sudut tertentu dalam kediaman selain mudah dicapai tetamu.

Apabila inovasi rekaan tradisional diterima pakai dan rekaan moden kontemporari pula selari peredaran zaman kian menarik perhatian ramai, satu kombinasi produk hiasan pelbagai fungsi dihasilkan.

Antaranya, bekas kuih raya kaca dengan kemasan buluh dan ada bekas kuih raya berasaskan seramik dengan kemasan kayu.

Ia diletakkan pula dalam dulang atau bakul kayu, buluh dan anyaman yang sarat dengan nilai estetika.

Bagi usahawan Bintara Kraf Saadiah Md Noor, 50, kehadiran pelbagai rekaan bekas kuih raya dan dulang moden pada hari ini sedikit pun tidak menggugat rekaan tradisional.

“Dua elemen penting Aidilfitri ini yang diketengahkan dalam rekaan tradisional mempunyai peminat tersendiri kerana ia tidak pernah lapuk ditelan zaman.

“Apatah lagi rekaan tradisional berasaskan rotan dan buluh lebih menarik apabila hari demi hari diberi wajah baru, namun masih mengekalkan keasliannya,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kraf Jalan Conlay sempena Warna-Warni Aidilfitri 2016, minggu lalu.

Pada masa sama, Warna-warni Aidilfitri 2016 yang berlangsung sehingga 3 Julai ini turut menawarkan pelbagai koleksi bekas kuih dan dulang.

Antaranya, rekaan futuristik yang menonjolkan gaya penataan melangkaui zaman dan diyakini berupaya menarik perhatian umum.

Konsep unik ini banyak menggabungkan ciri-ciri milenium selari gaya hidup masyarakat negara ini terutama generasi muda.

Pada masa sama, ia diketengahkan dalam rekaan ringkas, warna lebih bertenaga atau dramatik, selain mempunyai pelbagai fungsi.

Seterusnya, rekaan kubisme pula bagaikan terjemahan idea baru selari dengan perkembangan dan kemodenan masyarakat hari ini.

Kubisme adalah satu kaedah olahan seni moden yang menjurus kepada bentuk berstruktur dan bersegi-segi.

Konsep itu satu aliran moden pada awal abad ke-19 yang menganggap seni antara konsep ke arah penciptaan.

Penghasilan produk berkonsep kubisme ini diolah dengan cara memotong, herotan, bertindih, perubahan bentuk, menyusun dan aneka tempa.

Pertembungan warna terang juga diterapkan dengan penuh kreatif untuk disesuaikan dengan cita rasa generasi muda hari ini.

Bagi mencetuskan kelainan, motif dan corak yang satu ketika dulu popular diperkenalkan semula menerusi gabungan moden serta tradisional.

Tidak ketinggalan rekaan bekas kuih raya dan dulang berasaskan fabrik dan bermotifkan batik yang tentunya dilihat menampilkan kelainan tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:04 AM