X
Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Warga emas berusia 68 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap enam pertuduhan mencabul dan kelucahan melampau terhadap empat kanak-kanak perempuan termasuk dua beradik pada 15 mei lalu.

Tertuduh, Omar Yahaya, membuat pengakuan melakukan jenayah itu terhadap kanak-kanak berusia lapan, sembilan dan 11 tahun itu di rumahnya di Blok C, Sri Tanjung Jalan Denai 1, Kempas Permai kira-kira 8 malam.

Majistret, Noor Aisyah Ahmad mengarahkan keputusan jatuh hukum dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru 20 Julai ini dan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Timbalan Pendakwa Raya, Fithril Hakim Ab Jalil berhujah bimbang dengan keselamatan mangsa yang tinggal di blok yang sama dengan tertuduh.

Tertuduh tidak diwakili peguam dan ditemani ahli keluarga, tenang dan mengangguk faham apabila jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan mengikut Seksyen 354 dan 377E Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 6:44 PM