FIRDAUS (kanan) dan Shafiq.
FIRDAUS (kanan) dan Shafiq.
Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Nasib dua pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perak didapati gagal ujian doping 4 Mei lalu bakal diketahui selepas Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bermesyuarat 26 Julai ini.

Menurut Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, pihaknya sudah mendapat keputusan ujian sampel B minggu lalu namun tidak mahu mendedahkannya selagi kes itu tidak dibawa ke jawatankuasa terbabit.

“Memang kami sudah menerima keputusan ujian sampel B yang dilakukan di India tapi tidak boleh mengumumkannya lagi kerana kes ini perlu dibincangkan Jawatankuasa Tatatertib terlebih dulu.

“Pada mulanya kes ini akan dibincangkan pada Isnin (hari ini) atau Selasa tapi pihak Jawatankuasa Tatatertib memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan segala maklumat dan bukti bagi memperhalusi sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan penyerang PDRM Shafiq Jamal dan pemain muda Perak Muhammad Firdaus Saiyadi digantung serta-merta selepas didapati positif bahan terlarang methamphetamine stimulant hasil ujian Unit Doping Jawatankuasa Perubatan Sukan FAM selepas perlawanan Liga Super antara kedua-dua pasukan di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Mei lalu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 8:08 AM