PU Azman (kiri) bersama tetamu jemputan Mark Adam (kanan).
PU Azman (kiri) bersama tetamu jemputan Mark Adam (kanan).
DR Fadzilah Kamsah dalam Klinik D’Hijrah pada hari raya pertama ini.
DR Fadzilah Kamsah dalam Klinik D’Hijrah pada hari raya pertama ini.
Nor Akmar Samudin


Program Klinik D’Hijrah ditayangkan setiap hari di TV Alhijrah selama sejam mulai 7 pagi dengan kemunculan ustaz yang berbeza untuk menjawab permasalahan ummah.

Bagaimanapun, program itu dibuat secara rakaman tetapi pihak penerbit sudah menguar-uarkannya di Facebook untuk membolehkan penonton menghubungi ustaz menerusi telefon, laman sesawang dan Facebook.

Penerbit program itu, Norshirah Mohamad Sahimi berkata, penonton paling banyak bertanyakan soalan asas seperti kemusykilan berhubung solat selain soal haji dan umrah.

“Klinik D’Hijrah mula bersiaran pada 1 Mac lalu dan dijangka berterusan sehingga Februari tahun depan yang keseluruhannya ada 333 episod,” katanya.

Khusus untuk sambutan Syawal ini diadakan rakaman khas Klinik D’Hijrah Istimewa Raya yang akan bersiaran pada hari raya pertama dan kedua mulai jam 8.30 malam.

Panel pada hari raya pertama ialah pakar motivasi terkenal Datuk Dr Fadzilah Kamsah dengan jemputan istimewa pelakon Remy Ishak. Mereka akan membincangkan tajuk Mengekalkan Kecemerlangan Di Hari Raya.

Siaran pada hari raya kedua menampilkan Ustaz Azman Syah Alias atau PU Azman yang mengundang penyanyi Mark Adam akan membicarakan tajuk Jauh Di Mata Dekat Di Hati.

Menurut Norshirah, sambutan hari kemenangan umat Islam itu digunakan dengan sebaik-baiknya oleh TV Alhijrah untuk menerbitkan program yang mampu menjadi platform rujukan penonton.

“Dengan itu penerbitan rancangan Klinik d’Hijrah Istimewa Raya diyakini mampu membantu umat Islam khususnya dalam menjalani kehidupan berlandaskan syariat serta meraikan Aidilfitri seperti yang dituntut dalam agama.

“Penonton boleh menghubungi ustaz undangan menerusi telefon, laman sesawang atau Facebook,” katanya.

Agar program khas raya itu lebih meriah, kumpulan Caravan Of Praise akan membuat persembahan bersama Andy Flop Poppy.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 8:41 AM