NORANIZA bersama artis-artis yang terbabit dalam album ini.
Syafil Syazwan Jefri


Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris kini muncul dengan buah tangan terbaru sempena Aidilfitri tahun ini dengan album berjudul Ria Aidilfitri yang mengandungi 12 lagu.

Tidak bersendirian, Ria Aidilfitri turut menampilkan beberapa penyanyi lain yang turut sama menyanyikan lagu-lagu raya bersama Noraniza antaranya Ihab Ismail, Fee Haiqal, Fadzlee Sufri, Dalili Amerda, Royce Sa’ayan, Mimi Fly, Azmir Arif dan L’zzay Affandy.

Trek pilihan tentunya Nostalgia Aidilfitri yang juga lagu nyanyian asal Allahyarham Datuk Sharifah Aini.

Melodinya masih mengekalkan nada asal lagu ini, namun menampilkan nyanyian Noraniza bersama Ihab, Royce dan Azmir.

Nostalgia Aidilfitri turut mengimbau kenangan Aidilfitri dan membangkitkan ‘mood’ untuk beraya.

Trek berjudul Rewang Raya dendangan Noraniza dan Mimi Fly juga membuatkan pendengar bersemangat dengan rentaknya yang rancak.

Lagu ciptaan kedua-dua penyanyi ini juga turut mendapat sentuhan komposer, Dwiono Hermantoro dan lirik oleh Mimi sendiri dan Ahmad Fedtri Yahya.

Satu lagi kelainan yang ditampilkan dalam Rewang Raya adalah apabila Mimi menyuntik sedikit elemen rap dan menjadikan lagu ini kedengaran moden.

Satu lagi karya yang mencuri tumpuan adalah gabungan lagu Kasih Ibu dan Seri Mersing yang diberi nafas baru dan kedengaran lebih segar.

Bagi yang beraya di perantauan, trek ini tentunya mampu membuatkan air mata bergenang mengenangkan nasib terpaksa beraya jauh dari keluarga.

Dalam album Ria Aidilfitri ini, Noraniza turut menampilkan kehadiran anak bongsunya, Fee Haiqal dan anak tirinya Fadzlee Sufri.

Fee bergandingan bersama L’zzay mendendangkan lagu Aidilfitri Jadi Saksi yang menyajikan melodi rancak dan moden dalam album ini.

Satu lagi lagu dendangan Fee adalah Niatku, nyanyian bersama Ihab dan Dalili. Walaupun rentaknya ringkas dengan muzik minimalis, namun tetap kedengaran elemen ‘world music’ ditampilkan.

Fadzlee pula tampil menyanyikan lagu ciptaannya sendiri berjudul Linangan Syawal bersama Noraniza.

Rentak joget yang ditampilkan mampu membuatkan pendengar tersenyum sejenak mengenangkan kenangan di Aidilfitri walaupun sebenarnya lirik untuk lagu ini berkisar mengenai kisah duka.

Bagi Noraniza sendiri, dia sentiasa menantikan kehadiran album penuh sempena Aidilfitri sebegini sejak sekian lama.

“Kali terakhir saya dengar album seperti ini adalah sewaktu saya berusia tujuh tahun. Artis popular ketika itu antaranya seperti Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Latif Ibrahim, Hail Amir, Uji Rashid dan Datuk Khatijah Ibrahim bergabung dalam satu album.

“Sehingga kini, saya sangat merindui album itu dan sentiasa teringatkan mesej yang disampaikan di dalam sketsa tersebut sehingga mendorong saya untuk menghasilkan sketsa bermesej kepada masyarakat pendengar di setiap keratan yang diselang seli dengan lagu-lagu nyanyian kami.

“Bagi peminat yang mendapatkan album istimewa ini, anda pasti dapat merasai keunikan album ini yang dengan 22 trek termasuk lagu dan sketsa selain ucapan khas Hari Raya artis-artis turut dimuatkan dalam album ini,” katanya.

Selain dihasilkan bagi menyajikan lagu-lagu untuk dendangan di Aidilfitri, album ini juga dihasilkan bagi mengutip dana untuk membantu mereka yang memerlukan.

INFO

• Album: Ria Aidilfitri

• Penyanyi: Noraniza Idris, Ihab Ismail, Fee Haiqal, Fadzlee Sufri, Dalili Amerda, Royce Sa’ayan, Mimi Fly, Azmir Arif dan L’zzay Affandy

• Terbitan: Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd

Edaran: MVM Production

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 5:02 AM