KELUARGA LOL Entertainment teruja di Aidilfitri.
Sudirman Mohd Tahir dan Georgie Joseph


Kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini memberi makna berbeza bagi barisan artis naungan Laugh Out Loud (LOL) Entertainment.

Artis yang terdiri daripada Dafi, Jihan Muse, Sabhi Saddi, Elfira Loy dan pasangan keluarga Rozita Che Wan, Zain Saidin dan anak mereka, Aisyah Dhia Rana ini sekali lagi meraikan 1 Syawal hari ini dengan penuh kemeriahan.

Bagi Dafi, setiap tahun apa yang penting adalah menyediakan duit raya bagi keluarga dan anak-anak saudaranya.

“Kalau orang lain sibuk memikirkan baju raya dan kuih muih, berbeza dengan saya yang lebih mengutamakan duit raya. Memandangkan saya ada ramai anak saudara termasuk sebelah sepupu, jadi jumlah yang diperuntukkan perlu lebih.

“Dalam masa sama, saya tidak ketinggalan menyediakan duit raya buat kedua-dua ibu bapa serta ibu dan bapa saudara saya. Walaupun setahun sekali, sekurang-kurangnya saya dapat menggembirakan mereka pada pagi raya,” katanya.

Selain itu, Dafi turut menyambut Aidilfitri di kediaman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sama seperti lapan tahun sebelumnya.

“Insya-Allah pada raya keempat kami sekeluarga mengadakan rumah terbuka di Bera, Pahang. Ia acara wajib sejak bapa dipilih menjadi Ahli Parlimen di sana. Bukan saja meraikan penduduk setempat, malah saya turut bersama-sama peminat yang lain.

“Kebiasaannya juga, saya bercuti selama seminggu. Dalam tempoh itu saya tidak melepaskan peluang untuk menziarahi sanak-saudara dan rakan taulan. Inilah masa terbaik untuk saya berkumpul dengan mereka yang jarang berjumpa,” kata anak kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini.

Bagi pelawak popular, Jihan Muse meluahkan rasa teruja apabila pertama kali menyambut Aidilfitri bersama suami yang juga pelakon, Ku Hariz.

“Jika tahun lalu kami saling menziarahi pada pagi raya, kali ini berbeza. Status suami isteri itu membuatkan saya begitu teruja. Bukan apa, saya tidak sabar nak melalui pengalaman menyambut 1 Syawal dengan suami.

“Paling penting, saya menyediakan juadah kegemaran suami iaitu laksa Johor dan rendang mandaling,” katanya.

Mengenai giliran pulang beraya, Jihan mengakui dia dan suaminya tidak perlu pening kepala memikirkan perkara itu kerana keluarga kedua-dua belah pihak menetap di Shah Alam.

“Saya tak kisah nak beraya di rumah siapa dahulu. Sebabnya kedua-dua belah keluarga kami berada di Shah Alam. Mungkin dalam sehari sudah boleh pergi ke rumah kedua-dua keluarga.

“Cuma, saya mahu membawa suami pergi beraya di rumah pusaka arwah nenek saya di Hulu Langat. Setiap tahun lokasi itu menjadi tempat kami sekeluarga berkumpul. Bukan saja keluarga saya, malah saudara-mara lain juga datang ke situ,” katanya yang memperuntukkan cuti selama dua minggu sepanjang Aidilfitri ini.

Seperti mana kelaziman sebelum ini, Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta berkata, keluarganya kekal mengadakan rumah terbuka khas buat peminat pada hari raya ketiga.

“Seperti tahun sebelumnya, pada hari raya pertama ini saya menyambutnya di sebelah suami di Kuala Lumpur. Pada hari raya kedua baru pulang ke Alor Setar. Sudah menjadi satu kemestian juga kami sekeluarga mengadakan rumah terbuka,” katanya.

Zain pula seronok apabila berpeluang menikmati suasana sambutan Aidilfitri di kampung sejak berkahwin dengan Che Ta.

“Ketika kecil, kami sekeluarga akan berkumpul beramai-ramai bersama saudara lain di rumah arwah nenek di Gombak,” katanya.

Semakin meningkat dewasa, pelakon kecil molek, Elfira Loy, 22, pula berasakan keterujaannya tidak lagi seperti sewaktu kanak-kanak dulu.

Disebabkan itu, dia tidak beria-ria sangat dalam persediaan tahun ini.

Namun, pelakon Waktu Rehat itu mengakui ada cara sendiri untuk menimbulkan lagi rasa terujanya.

“Kebetulan saya pergi ke Jakarta tahun ini bersama ibu. Sepatutnya kena pergi dengan Kak Erma Fatima, tetapi dia tidak jadi pergi pada saat-saat akhir. Alang-alang sudah tempah hotel di sana, saya tetap pergi juga dan mengambil kesempatan membeli baju raya untuk seisi keluarga.

“Tak tahulah, tapi saya bukan jenis beria-ia kalau menyentuh persiapan raya terutama pada usia sekarang. Saya suka buat persiapan ‘last minute’ disebabkan lebih gelabah, lebih seronok perasaan nak beraya,” katanya.

Buat penyanyi kelahiran Sabah, Sabhi Saddi, 32, dia mengambil keputusan untuk tidak pulang beraya di kampungnya tahun ini.

Lagipun, menurutnya, dia tidak beraya lama dan cuma memperuntukkan lima hari saja.

“Tahun ini konsepnya asalkan baju cukup saja. Saya pun tidak balik Sabah dan hanya menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur. Pada hari raya kedua barulah kami sekeluarga balik Chenor, Pahang dan seterusnya ke Kelantan,” katanya.

Namun, dia mengakui tetap merindukan pelbagai menu di tempat kelahirannya, Sandakan setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Saya memang cukup teruja dengan menu juadah dihidangkan seperti lamban yang seakan-akan pulut palas. Paling sedap kalau mencecahnya dengan ayam masak kicap kerana saya tak suka cecah rendang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2016 @ 5:03 AM