FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


Baling: Seekor ular tedung selar sepanjang empat meter dan seberat tujuh kilogram berjaya ditangkap di sebuah rumah di Kampung Temusu, Pulai, di sini, pagi tadi.

Fazilah Hamid, 39, berkata, dia menyedari kehadiran ular itu kira-kira jam 9.30 pagi ketika keluar untuk memasak air di dapur yang terletak di luar rumahnya.

Menurutnya, ketika itu ular terbabit cuba memakan seekor tupai di dalam sangkar.

"Saya percaya ular itu terbau tupai itu dan datang untuk memakannya menyebabkan saya cuba menghalaunya dengan membaling batu.

"Selepas membaling batu berulangkali ular itu beredar dan menyelinap bawah kayu serta menyorok di bawah dapur berdekatan tong gas," katanya.

Bimbang ular itu memasuki rumahnya, dia kemudian menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menangkap ular itu.

"Ketika kejadian itu juga, saya sedang bersiap menyediakan juadah untuk hidangan tetamu dan mujur masih tiada sesiapa datang ketika itu," katanya.

Sementara itu, Pegawai JPAM Baling, Mohd Faizol Ab Aziz berkata, ketika umat Islam bergembira menyambut Aidilfitri tetapi anggota JPAM yang bertugas tetap setia menanti di bilik gerakan untuk menerima setiap panggilan kecemasan bagi memastikan tanggungjawab yang diamanahkan dipikul dengan sebaiknya.

Beliau berkata, JPAM menerima panggilan daripada penduduk pada jam 9.50 pagi dan bergerak ke lokasi bersama tiga anggota untuk menangkap ular itu.

Katanya, ular itu dipercayai keluar dari hutan berdekatan rumah mangsa akibat berbau tupai yang diletakkan dalam sangkar di luar rumah berkenaan.

"Kita mengambil masa 10 minit untuk menangkap ular itu yang menyorok di bawah dapur.

"Mujurlah ular itu tidak lari ke dalam hutan dan berjaya ditangkap oleh anggota.

"Kita akan menyerahkan ular tedung selar itu kepada Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Baling ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2016 @ 3:02 PM