Ekhwan Haque Fazlul Haque


Bintulu: Dua lelaki yang dipercayai pengedar dadah mati ditembak ketika cuba menyerang anggota polis dalam serbuan di sebuah bangsal ladang kelapa sawit di Jalan Sebauh-Pandan, di sini, malam tadi.

Dalam serbuan jam 11.30 malam itu, suspek berusia 30-an itu berada di dalam bangsal berkenaan untuk membungkus dadah jenis methaphetamine.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Dev Kumar berkata, suspek pertama ditembak tiga das kerana menyerang polis menggunakan keris ketika cuba ditahan.

Beliau berkata, melihat rakannya cedera, seorang lagi suspek cuba meloloskan diri menggunakan pintu belakang bangsal namun berjaya dikepung.

"Terdesak kerana tiada jalan keluar, suspek kemudian menyerang polis menggunakan parang dan memaksa polis melepaskan tiga das tembakan.

"Kedua-dua suspek disahkan mati di lokasi kejadian dan mayat mereka di hantar ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurut Dev, serbuan diketuai Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zailani Amit itu dijalankan selepas pihak berkuasa menerima maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan ladang kelapa sawit berkenaan.

Beliau berkata, polis percaya suspek adalah warga asing kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

"Polis merampas senjata yang digunakan suspek dan dadah serta barangan yang digunakan untuk tujuan pembungkusan bahan terlarang itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2016 @ 4:10 PM