KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Kuah-Padang Matsirat, Langkawi, petang tadi. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Kuah-Padang Matsirat, Langkawi, petang tadi. FOTO ihsan pembaca
Hamzah Osman


Langkawi: Seorang kakitangan hotel maut, manakala rakannya cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Jalan Kuah-Padang Matsirat di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.05 petang itu, mangsa, Mohamad Nor Ikhwan Md Ikram, 23, yang memandu kereta mati di tempat kejadian, manakala Choo Chua Wei, 24, mengalami luka di bahagian muka dan tangan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, ketika kejadian mangsa yang juga kakitangan hotel dan rakannya dalam perjalanan dari Pantai Chenang ke Kuah sebelum terbabas sendiri ke bahu jalan sebelah kiri dan merempuh tiang elektrik.

"Rempuhan yang kuat mengakibatkan tiang elektrik patah dan kereta terbalik.

"Pemandu kereta dilaporkan mati di tempat kejadian, manakala penumpang mengalami luka di bahagian muka dan tangan," katanya.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat, manakala penumpang yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama," katanya ketika dihubungi tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2016 @ 10:53 PM