FOTO hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuching: Seorang lelaki ditahan di sebuah pusat hiburan di Piasau Utara 1, Miri, malam tadi, untuk siasatan lanjut berhubung kes pembunuhan Setiausaha PKR Miri, Bill Kayong.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar berkata, suspek berusia 28 tahun itu dipercayai dapat memberikan lebih banyak maklumat mengenai kejadian berkenaan.

Beliau berkata, polis akan memohon perintah tahanan reman daripada Mahkamah Majistret Miri bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap suspek.

"Setakat ini lapan individu ditahan termasuk suspek yang ditahan malam tadi. Pasukan siasatan akan memohon lanjutan tahanan reman terhadap enam lagi suspek yang ditahan sebelum ini kerana siasatan masih belum lengkap.

"Polis masih memburu beberapa lagi suspek yang dapat membantu siasatan, namun pihak berkuasa tidak dapat mendedahkan identiti mereka kerana ia boleh mengganggu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bill, 43, maut selepas ditembak menggunakan senapang patah di persimpangan lampu isyarat di berdekatan sebuah pasar raya di Tudan, Miri, 21 Jun lalu.

Kelmarin, Polis Sarawak percaya kes ini berjaya diselesaikan selepas seorang daripada suspek membawa pihak berkuasa ke rumahnya di Jalan Hai Nam Lama, Miri dan selaras senapang patah yang digunakan dalam kejadian itu dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2016 @ 12:51 PM