SUASANA berubah ikut peredaran masa.
SUASANA berubah ikut peredaran masa.
Siti Farahiyah Aziz


Apabila menjelang musim perayaan pelbagai perkongsian cerita bukan saja golongan muda tapi semua lapisan masyarakat. Masing-masing mula berkongsi pengalaman yang sentiasa segar dalam ingatan.

Walaupun memori itu sudah lebih 10 tahun berlalu, zaman kanak-kanak menjadi saat terindah dan tidak mungkin dilupakan kerana tradisi yang dilakukan ketika itu sudah ditelan zaman.

Jika diperhatikan, golongan muda kini seolah-olah kurang bersosial dan kekok menerima kunjungan tetamu. Mereka lebih memilih menghabiskan masa dengan melayani telefon pintar masing-masing.

Selain itu, budaya balik kampung untuk menyambut Aidilfitri memberikan kelainan dan memori tersendiri kerana itu adalah peluang berkumpul dengan semua saudara-mara yang jarang bertemu.

Walaupun ada segelintir anggota masyarakat tidak mempunyai kampung kerana ibu bapa menetap di bandar, kemeriahan menyambut Syawal tetap diteruskan dengan mengunjungi rumah ibu bapa pada hari raya pertama.

BERGEMBIRA

Selepas sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, hari raya adalah hari kejayaan dengan kegembiraan dan kemeriahan. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat.

Di Malaysia, kegembiraan sambutan Aidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju baru, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi.

BERMAAF-MAAFAN

Ucapan ‘maaf zahir dan batin’ menjadi sebati dalam diri setiap Muslim setiap kali menyambut Aidilfitri. Walaupun berasakan begitu sukar untuk memaafkan dan masih terbawa-bawa kesilapan yang dilakukan terhadap kita tapi tidak salah sekiranya kita memulakan kata maaf kerana ia boleh mengelak sesuatu hubungan terjejas.

MENZIARAHI ANTARA SATU SAMA LAIN

Amalan saling menziarahi rumah terutama dalam kalangan saudara-mara terdekat dan sahabat handai adalah suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Aidilfitri.

Kebiasaannya rutin wajib ini menjadi semakin meriah apabila membabitkan ahli keluarga, saudara atau kenalan yang tinggal berjauhan dan jarang pulang menjadikan hari raya sebagai hari menziarahi kenalan.

Tapi apabila tiada semangat dan penghayatan berziarah, lambat-laun hubungan persaudaraan antara saudara-mara atau jiran tetangga pasti renggang. Sikap itu perlu dihindarkan kerana ia menggambarkan sikap pentingkan diri sendiri dan sombong.

Antara adab ketika menziarahi ketika raya:

Pilih masa yang sesuai: Jangan datang terlalu awal seperti 7 atau 8 pagi kerana ketika itu tuan rumah mungkin sedang membuat persiapan dan jangan terlalu lewat malam.

Pakai pakaian sopan: Pada hari raya, semua golongan iaitu daripada kanak-kanak hingga warga emas berada di tempat yang anda kunjungi. Jadi berpakaian sopan bagi menghormati orang lain dan pada masa sama diri anda juga berasa lebih selesa.

Beri salam dan minta izin: Walaupun ketika raya semua rumah seperti rumah terbuka, tapi anda tetap mesti memberi salam dan meminta keizinan untuk masuk supaya tuan rumah mengetahui kedatangan anda.

Menjaga peri laku: Ketika beraya bersama rakan ke rumah rakan yang lain, jaga dan kawal diri supaya tidak terlalu meninggikan suara ketika bercakap dan ketawa dengan kuat sehingga mengganggu orang lain.

Had tempoh kunju­ngan: Anda perlu menetapkan tempoh tertentu bagi satu tempat supaya dapat memberi ruang tuan rumah melayani tetamu yang lain. Cukuplah tempoh setengah atau satu jam saja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 5:56 AM