RASHID (kanan) berbincang bersama jurulatih lain selepas sesi pertemuan BAM bersama panel barisan kejurulatihan.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kontrak lanjutan sementara akan diberikan kepada ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek sebelum Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan untuk menyambung atau menamatkan perkhidmatan beliau.

Menurut Setiausaha Kehormat BAM Ng Chin Chai kontrak Rashid memang berakhir hujung bulan ini, tetapi ahli Majlis BAM hanya akan mengadakan mesyuarat dan membuat keputusan awal bulan depan.

“Memang ada sebilangan jurulatih yang kontraknya akan tamat hujung bulan ini, tapi kita memberikan kontrak lanjutan sementara agar mereka boleh bertugas seperti biasa hingga ahli Majlis BAM bermesyuarat dan membuat keputusan,” katanya.

Semalam berakhir proses penilaian ahli panel BAM terhadap prestasi jurulatih di ibu pejabat BAM di Stadium Juara, Bukit Kiara dan laporan itu akan disemak Ahli Majlis pada mesyuarat akan datang.

Ditanya faktor yang ditekankan dalam penilaian serta laporan berkenaan, Chin Chai berkata, ia membabitkan beberapa elemen, termasuk keputusan terkini pemain pada kejohanan terdekat serta pertandingan sebelum ini.

“Banyak perkara yang ditekankan dalam penilaian serta laporan akan dibuat nanti, kami perlukan sedikit masa untuk menyiapkannya,” katanya.

Selain Rashid, kontrak jurulatih lain yang berakhir hujung bulan ini termasuk Tey Seu Bock (perseorangan lelaki), Pang Cheh Chang (beregu lelaki) dan Rosman Razak (beregu wanita).

Kelmarin, Rashid mengakui belum pasti kekal berkhidmat dengan BAM walaupun mendapat tawaran kontrak baru.

Beliau akan mempertimbangkan tawaran itu sebelum membuat keputusan sama ada akan kekal berkhidmat melatih pemain perseorangan lelaki negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 6:36 AM