ANTARA produk anyaman HKY Collections.

Menceburkan diri secara serius lebih 20 tahun lalu dalam bidang anyaman meletakkan nama Khadijah Yong pada kelas tersendiri.

Bagi penggemar produk anyaman pula, HKY Collections bukanlah asing terutama yang tinggal di pantai timur.

Terletak di Kampung Gong Pak Maseh, Kuala Terengganu, hasil keluaran syarikat ini bukan sahaja dipasarkan di dalam negara, bahkan turut meluas hingga ke China.

Bagi Khadijah, kemahiran bukanlah perkara penting untuk berjaya, tetapi paling utama ialah usaha.

Ini dapat dibuktikan apabila beliau sendiri sebelum itu langsung tiada asas untuk menganyam.

Minat dan usaha berterusan membuatkan beliau akhirnya berjaya menghasilkan pelbagai jenis produk anyaman kraf.

Rekaannya dipelbagaikan dengan reka bentuk corak lebih kontemporari.

Antara produk anyaman dihasilkan HKY Collections ialah beg, kotak serba guna, lapik pinggan, alas meja, hiasan dinding, bekas telur, barangan cenderamata dan terkini kotak hantaran atau cenderamata.

Bahan mentah bukan masalah kepada Khadijah. Ini kerana beliau turut menjalinkan rantaian dengan beberapa pembekal di kampung sekitar negeri itu.

Bagi menampung permintaan produk anyaman yang tinggi, Khadijah turut bekerjasama dengan beberapa penduduk sekitar yang melakukan kerja menganyam secara separuh masa.

“Setiap dua minggu sekali saya berjumpa penganyam ini untuk mewarnakan mengkuang.

“Saya sendiri yang hasilkan kombinasi warna mengikut permintaan semasa,” katanya.

Kreativiti bekas pensyarah di sebuah Institut Perguruan di Kuala Terengganu ini juga makin terserlah apabila anyaman mengkuang itu digabungkan dengan beberapa fabrik mengikut kesesuaian seperti songket dan batik.

Ia penting supaya produk kraf ini tampil lebih segar dan mewah. Reka bentuknya juga dipelbagaikan dan diselitkan dengan anyaman kelarai.

Penggunaan warna sangat penting dalam menghasilkan kelarai. Corak kelarai dianyam secara berselang-seli supaya dapat menghasilkan motif atau corak yang diinginkan.

Corak kelarai juga memberikan penekanan kepada penggunaan susunan warna pada sesuatu ‘ghadas’ atau anyaman biasa.

Kotak hantaran atau cenderamata antara produk anyaman terkini HKY Collections.

Ia dihasilkan menerusi anyaman biasa dan diselitkan dengan anyaman kelarai motif tampuk manggis dan motif bunga cempaka. Kotak ini dijual dengan harga bermula RM73.

Pembaca yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan produk kraf ini bolehlah mengunjungi Warna-Warni Aidilfitri yang kini berlangsung hingga 3 Julai ini di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 5:04 AM