POGBA (kiri) dianggar bernilai RM521 juta.
Reuters

London: Paul Pogba boleh membawa cabaran Manchester Untied dalam memburu takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) jika pemain perancang itu dapat dibawa kembali ke Old Trafford, kata bekas pemain tengah kelab itu, Paul Ince.

Media British melaporkan Pogba yang meninggalkan United pada musim 2012 ketika di bawah kendalian Alex Ferguson, kini mempunyai harga sekitar 100 juta pound (RM521 juta).

Malah dilaporkan juga gergasi Sepanyol, Real Madrid turut menunjukkan minat untuk membawa masuk pemain serba boleh itu dan sedia bersaing mendapatkan khidmat Pogba.

Pogba begitu menyerlah musim lalu apabila membantu Juventus membolot kejuaraan berganda dalam saingan domestik dan Ince yakin pemain berusia 23 tahun itu boleh menyinar sekiranya beraksi di bawah kendalian Jose Mourinho di Old Trafford.

“Saya rasa gaya permainan dia (Pogba) lebih sesuai dengan EPL daripada Liga Sepanyol.

“Pogba mampu mempamerkan kemampuan sebenar jika dia beraksi dalam liga yang sesuai dengannya. Jadi, saya rasa dia dan United saling sesuai,” kata Ince kepada Sky Sports.

Pogba yang sedang beraksi bersama pasukan negaranya bermain dalam semua enam perlawanan membabitkan kempen Perancis pada Kejohanan Euro. Mereka akan bertemu Portugal pada perlawanan akhir Ahad ini.

Ince menambah kehadiran Pogba akan mencerahkan peluang United dalam pemburuan takhta.

“Siapa yang dia akan bergandingan, sama ada (Michael) Carrick, (Morgan) Schneiderlin atau (Bastian) Schweinsteiger - saya tidak tahu.

“Namun kalau United boleh mendapatkan Pogba, mereka boleh menghantar isyarat yang kami sudah bersedia dalam merebut kejuaraan musim ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 5:48 AM