CHONG Wei (kiri) mendapat suntikan semangat dari Hendrawan (kanan) dan Seu Bock.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan sedar anak buahnya, Datuk Lee Chong Wei memiliki perwatakan pemain yang mampu meraih pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016.

Menurut jurulatih kelahiran Indonesia itu, perwatakan Chong Wei untuk meraih emas dapat dilihat dengan pemain nombor satu dunia itu mempunyai tekad membara untuk mengharungi Olimpik bulan depan.

“Seperti saya cakap sebelum ini, dia sekarang berbeza dari segi kematangan dan pemikiran. Dia kini semakin hebat,” kata Hendrawan.

Jelasnya, hampir semua kejohanan Chong Wei berjaya merangkul gelaran dan dari segi kematangan, pemenang perak Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) itu dijangka mampu mengawal situasi dalam penampilan keempat temasya itu, bulan depan.

“Dari segi usia dan fizikal, memang tidak sama dulu, tapi kelebihannya sekarang kematangan dan cara pemikiran dalam menghadapi perlawanan,” kata Hendrawan yang muncul juara dunia 2001 di Seville.

Gandingan antara Chong Wei dan Hendrawan sambil dibantu seorang lagi jurulatih perseorangan lelaki negara, Tey Seu Bock berjaya membentuk gandingan mantap sehingga membolehkan pemain berusia 33 tahun itu merampas semula gelaran nombor satu dunia.

Hendrawan banyak memainkan peranan meningkatkan semula semangat Chong Wei yang sebelum ini gagal ujian doping sehingga menyaksikan dia digantung lapan bulan dan tergelincir ke ranking 180 dunia.

Kini Chong Wei sudah bersedia untuk membawa cabaran negara ke Olimpik Rio, walaupun musuh tradisi, Lin Dan dijangka menjadi penghalang paling sukar buatnya bagi merealisasikan impian meraih emas sulung negara.

Dia juga dilantik Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan rasmi temasya itu nanti.

Skuad badminton negara yang diketuai Chong Wei turut dibarisi Tee Jing Yi (perseorangan wanita), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki), Vivian Hoo-Woon Khe Wei (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang akan bertolak ke Brazil hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 6:19 AM