MANGSA dijumpai lemas oleh penduduk kampung. FOTO ihsan Bomba
MANGSA dijumpai lemas oleh penduduk kampung. FOTO ihsan Bomba
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Keceriaan empat kanak-kanak hendak mandi sungai bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas di sungai Kampung Gerong di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 3 petang itu, mangsa, Mohd Daniel Wan Ibrahim, 10, bersama tiga lagi rakannya dipercayai turun ke sungai itu untuk mandi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Pusat Gerakan Operasi pada 3 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera dan lima anggotan

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian pada 3.26 petang, mayat mangsa sudah dijumpai oleh orang awam.

"Hasil siasatan awal mendapati, mangsa yang berasal dari Kampung Palekbang itu dipercayai ke sungai terbabit untuk mandi-manda bersama tiga lagi rakannya.

"Mangsa mungkin tidak mengetahui bahawa sungai terbabit dalam sebelum terjun dan lemas.

"Rakan mangsa kemudian mendapatkan pertolongan daripada penduduk kampung berhampiran," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tumpat untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 10:52 PM
Digital NSTP Subscribe