Yuna menerima plak daripada Christopher.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi, Yunalis Zarai atau Yuna, 29, terharu apabila diiktiraf The Malaysia Book of Records atas pencapaian Album R&B Pertama Tersenarai Dalam Top 10 Carta Billboard Di Amerika Syarikat (AS).

Yuna berkata, dia tidak menyangka masih banyak pihak dan organisasi di Malaysia mengikuti perkembangan karier seninya yang berpangkalan di Los Angeles, AS.

"Secara peribadi, saya sangat gembira dengan pengiktirafan ini apatah lagi pertama kali meraihnya. Ia membuktikan masih ada pihak benar-benar mengambil berat terhadap kerjaya saya.

"Saya seakan bermimpi sehinggalah menerima pengiktirafan secara rasmi pada hari ini. Ada juga beberapa rakan artis memberi bayangan tidak lama dulu mengenai pengiktirafan ini namun saya ingat mereka berseloroh," kata Yuna yang ditemui pada sesi autograf bersama peminatnya sebentar tadi.

Plak pengiktirafan itu disampaikan Pengarah Operasi Malaysia Book Of Records, Christopher Hw Wong pada acara berdurasi satu jam itu.

Yuna turut mempersembahkan dua lagu daripada album terbarunya, Chapters iaitu Crush dan Places To Go.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 11:48 PM