MURRAY ketepi cabaran Raonic untuk menjulang gelaran kedua Wimbledon.
MURRAY ketepi cabaran Raonic untuk menjulang gelaran kedua Wimbledon.
AFP

London: Andy Murray memberi amaran kepada pemain nombor satu dunia Novak Djokovic (gambar) bahawa dia masih belum menunjukkan aksi terbaiknya apabila pemain Scotland itu mahu meneruskan kejayaan menjulang Wimbledon kedua dengan kemenangan demi kemenangan.

Murray merangkul gelaran Grand Slam ketiga apabila mengetepikan cabaran pemain Kanada Milos Raonic dengan kemenangan 6-4, 7-6 (7/3), 7-6 (7/2) pada perlawanan akhir, kelmarin.

Bintang berusia 29 tahun adalah pemain Britain pertama menjulang pelbagai kejayaan di Kelab Seluruh England selepas Fred Perry pada 1930-an dan pemain ke-12 muncul juara di Wimbledon lebih sekali.

Selepas mengalami kekalahan mengecewakan dalam lapan daripada 10 final Grand Slam, pemain nombor dua dunia itu mahu menggunakan Wimbledon sebagai batu loncatan untuk menjulang lebih banyak kejayaan pada masa depan.

“Saya masih berasakan belum menampilkan aksi tenis terbaik, saya mempunyai peluang untuk menang lebih banyak lagi,” kata Murray.

“Tiga bulan terakhir ini antara yang terbaik sepanjang karier dari aspek konsisten.

“Masa kemuncak setiap orang datang pada tahap berbeza. Ada yang datang pada awal 20-an, ada yang pertengahan 20-an. Saya harap waktu saya akan tiba nanti.”

Murray mara ke tiga final Grand Slam pada 2016, tewas dua pertemuan sebelumnya di Australia dan Perancis di tangan Djokovic.

Namun Djokovic mendedahkan kelemahan yang jarang ditemui menerusi kekalahan mengejut pada pusingan ketiga Wimbledon kepada Sam Querrey dan Murray percaya dia berpeluang mengukuhkan reputasinya sebagai kuasa besar sukan itu ketika ini apabila Roger Federer dan Rafael Nadal bergelut dengan kecederaan dan prestasi tidak menentu.

“Sudah pasti saya suka menang lebih banyak lagi. Seperti yang saya katakan sebelum ini, pemain yang saya temui adalah tiga pemain berpotensi terbaik sepanjang zaman,” kata Murray.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 9:38 AM