THERESA (kiri) dan Andrea.
THERESA (kiri) dan Andrea.
AFP

London: Theresa May bakal menjadi Perdana Menteri baru Britain selepas satu-satunya lawannya untuk jawatan itu menarik diri dalam perkembangan baru politik negara itu yang dilanda kemelut susulan keputusan referendum Brexit untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

Andrea Leadsom yang dikritik hebat baru-baru ini selepas mengeluarkan kenyataan dia sebagai ibu lebih layak memimpin Britain berkata, proses pemilihan yang panjang tidak akan memberi kesan positif kepada Britain.

“Theresa yang paling sesuai untuk melaksanakan Brexit dengan sebaiknya untuk rakyat Britain,” kata Andrea dalam kenyataan mengumumkan menarik diri daripada pencalonan untuk memimpin parti pemerintah Konservatif.

Sementara itu, ahli Parlimen Labour, Angela Eagle turut memulakan usaha untuk mengambil alih kepemimpinan parti pembangkang utama, Labour, daripada anggota veteran, Jeremy Corbyn.

“Ini tempoh yang sukar untuk Britain dan Corbyn tidak mampu menjadi pemimpin yang kita perlukan,” katanya.

Perdana Menteri Konservatif, David Cameron meletak jawatan selepas gagal memujuk rakyatnya mengundi kekal dalam EU dalam referendum pada 23 Jun lalu. Penggantinya sepatutnya diumumkan pada 9 September ini.

Bagaimanapun, buat masa ini, masih belum jelas sama ada Theresa akan menjadi pemimpin baru secara automatik atau ahli Parlimen Konservatif akan memilih calon lain untuk bertanding melawannya.

Theresa yang juga Setiausaha Dalam Negeri bakal menjadi Perdana Menteri pertama wanita Britain sejak Margaret Thatcher, dan melancarkan kempen polisinya semalam dengan berjanji membawa Britain keluar dari EU walaupun sebelum ini menyokong kempen ‘Remain’ (kekal) menjelang referendum berkenaan.

“Apapun, Brexit sudah diputuskan dan kami akan memastikan meraih yang terbaik daripadanya.

“Tidak akan ada sebarang usaha untuk kekal dengan EU dengan apa cara sekalipun, malah referendum kedua juga tidak akan diadakan. Saya akan memastikan kita keluar dari EU,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 10:34 AM