ANGGOTA JPJ negeri menjalankan pemeriksaan kenderaan ketika Ops Bersepadu di Jalan Pengkalan Rama. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Sebanyak 108 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Bersepadu selama tiga jam di Jalan Pengkalan Rama dan Jalan Durian Daun, di sini, malam tadi.

Operasi bermula 9 malam itu membabitkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Sementara itu, enam lelaki berusia 20-an hingga 60-an ditahan AADK kerana positif dadah jenis morfin, ganja dan syabu.

Pengarah JPJ negeri, Mohd Fadhil Hasan berkata, 150 kesalahan dikesan daripada pemeriksaan ke atas 470 kenderaan.

"Antara kesalahan paling banyak dikesan adalah tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, penggunaan lampu HID, cermin gelap dan ubahsuai kenderaan," katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohd Fadhil lagi, tujuh motosikal dan lima kereta disita kerana tidak memiliki cukai jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 12:45 PM