KESAN remuk pada kenderaan jiran mangsa apabila dilanggar kereta suspek yang cuba melarikan diri. FOTO Essa Abu Yamin
Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Peniaga nyaris maut apabila diserang dua penjenayah yang melepaskan beberapa das tembakan di hadapan rumahnya di Taman Seri Fajar, di sini, kira-kira 10 malam tadi.

Difahamkan mangsa yang dikenali sebagai Cheng, 40, bersama pembantunya ketika itu berada di dalam Mitsubishi Triton sebelum diserang dua lelaki menaiki Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, siasatan awal mendapati mangsa diekori penjenayah ketika dalam perjalanan dari Semerah ke rumahnya.

"Sebaik tiba di hadapan rumah, seorang suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa yang masih dalam kenderaan. Mangsa bagaimanapun bertindak pantas dengan mengundurkan kenderaan bagi melanggar bahagian hadapan kereta suspek sebelum kedua-dua penjenayah itu melarikan diri.

"Kenderaan jiran mangsa juga turut remuk apabila dilanggar suspek ketika cubaan melarikan diri," katanya.

"Mangsa cedera di tangan kanan akibat hentakan ketika dalam kenderaan dan kini dirawat di Hospital Putra Batu Pahat," katanya.

Menurutnya, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 3:29 PM