Pegawai MPS memeriksa kebersihan restoran di Kemayan Square dan gambar kanan, lipas yang dutemui ketika pemeriksaan petang tadi. - Foto KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN.
Khairul Najib Asarulah Khan

Seremban: Sebuah restoran di Kemayan Square di sini, diarah tutup serta-merta hari ini selepas pemeriksaan mendapati premis terbabit kotor.

Premis berkenaan menjadi viral di Facebook apabila seorang wanita berkongsi gambar roti canai sardin yang mahu dimakannya ada lipas.

Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan bersama Majlis Perbandaran Seremban (MPS) melakukan pemeriksaan dan mendapati tahap kebersihan restoran itu tidak memuaskan.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, pihaknya bersama MPS melakukan pemeriksaan di restoran 24 jam itu 3 petang tadi.

"Hasil pemeriksaan mendapati kehadiran lipas di restoran berkenaan dan tindakan penutupan premis dikeluarkan selama 14 hari bermula hari ini.

"Tindakan itu diambil mengikut Akta Makanan 1983 kerana membahayakan kesihatan pengguna. Pada Februari lalu, premis itu pernah diperiksa dengan tahap kebersihannya 80 peratus berbanding hari ini, 52.5 peratus.

"Kami harapkan pengguna segera memaklumkan jika ada restoran tidak mementingkan kebersihan agar tindakan sewajarnya dapat diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 6:22 PM