Keadaan lori tangki yang terbabas serta kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah lebuh raya. - Foto LLM/Ihsan Pembaca
Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Sebuah lori tangki petroleum terbabas di kilometer 32.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran kawasan Genting Sempah menghala Gombak pada 5.30 petang tadi, menyebabkan kesesakan teruk kedua-dua arah.

Jurucakap MTD Prime ketika dihubungi memberitahu, lori tangki tanpa muatan itu dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur.

"Setiba di lokasi kejadian, lori itu dipercayai hilang kawalan menyebabkan ia terbabas merempuh penghadang lebuh raya menyebabkan tangkinya menghalang laluan sepenuhnya.

"Bagaimanapun, tiada kenderaan lain terbabit dalam kemalangan itu dan pemandu lori juga tidak cedera," katanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu, laluan menghala Kuala Lumpur sesak sepanjang tiga kilometer manakala dua lorong menghala Kuantan terpaksa ditutup untuk kerja pengalihan dan pembersihan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 7:23 PM