HAMZAH (tengah) bersama Presiden Jualan Global WorldVentures, Jon McKilli (dua dari kiri) merasmikan ibu pejabat WorldVentures Malaysia, semalam.
HAMZAH (tengah) bersama Presiden Jualan Global WorldVentures, Jon McKilli (dua dari kiri) merasmikan ibu pejabat WorldVentures Malaysia, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), menjangkakan nilai industri jualan langsung akan menyumbang sebanyak RM20 bilion kepada pendapatan negara menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tahun lalu industri jualan langsung menyumbang pendapatan sebanyak RM17 bilion dan pihaknya yakin jumlah itu akan meningkat.

“Setakat April 2016, sebanyak 30 peratus daripada jumlah yang disasarkan (RM20 bilion) sudah dicapai dan industri jualan langsung dilihat mampu merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.

“Bagaimanapun, KPDNKK sangat peka untuk memastikan hanya syarikat jualan langsung yang mengamalkan etika perniagaan yang sah dan mengikut piawaian ditetapkan saja akan diberi lesen,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran ibu pejabat WorldVentures Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum ini lebih 600 syarikat jualan langsung diberi lesen oleh KPDNKK dan setakat ini sebanyak 308 syarikat saja yang beroperasi.

Beliau berkata, lebih separuh daripada syarikat terbabit sudah ditarik lesen kerana tidak menjalankan perniagaan yang sah dan ada juga yang mengalami kerugian.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Jualan Global dan Pengembangan Antarabangsa WorldVentures, Kyle Lowe berkata, sejak ditubuhkan, WorldVentures sudah membantu ratusan ribu orang memenuhi impian percutian dan pengembaraan mereka ke serata pelosok dunia.

“Pembukaan pejabat kami di Malaysia mencerminkan potensi serta komitmen kami untuk terus berkembang terutama dalam industri pelancongan,” katanya.

WorldVentures menawarkan kelab percutian dan gaya hidup khas kepada ahli mereka dengan menyediakan pakej menarik dan pengalaman unik mengikut kesesuaian cita rasa dengan harga yang istimewa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 7:26 AM